Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum warahmatullahi…

By Monday April 12th, 2021 No Comments

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, Ramadhan menjelma kembali.

Ramadhan yang bulannya dipenuhi rahmat keberkatan kini kembali menuntut kita melalui rukun Islam ketiga iaitu berpuasa dan pada masa yang sama merebut peluang meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT.

Sedar tak sedar, masih baru terasa bagaimana kita tahun lepas menyambut Ramadhan bersama keluarga – berbuka dan berterawih berjemaah bersama.

Ramai juga yang berjaya melakukan sesuatu jarang sekali kita buat iaitu menjadi imam solat Terawih.

Selalunya kita berjemaah berterawih di masjid atau surau.

InsyaAllah mulai malam ini, kita akan kembali memenuhkan saf-saf di masjid dan surau untuk berterawih.

Sebelum masuk waktu Subuh pagi esok, kita akan bersahur bersama keluarga.

Saya secara peribadi masih terbayang di ingatan, bagaimana ujian besar menimpa saya dan keluarga pada malam pertama Ramadhan tiga tahun lepas.

Sukar untuk melenyapkannya dari ingatan.

Apa yang mampu saya hadapi, hanya berdoa dan berserah kepada Allah.

Ancaman dan ujian Covid-19 ketika ini dalam menghayati ibadah puasa sudah pasti akan menguji keimanan, kesabaran, ketahanan diri dan keluarga dengan kebiasaan amalan norma baharu.

Musibah dan ujian yang berlaku ini merupakan tanda kasih dan sayang Allah kepada hambaNya sebagai pengajaran agar manusia kembali taat kepada perintahNya.

Agenda negara yang berteraskan Maqasid Syariah sahaja yang mampu mengatasi apa jua masalah berkaitan umat sejagat kerana ianya benar-benar memelihara serta menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, harta keseluruhan rakyat dan negara.

Dalam mengharungi suasana kegawatan ekonomi dan situasi getir ketika Ramadhan ini, marilah kita perbanyakkan infaq dan sedekah membantu golongan yang memerlukan serta kurang bernasib baik.

Hakikatnya, negara kita sedang berdepan dengan krisis ekonomi, kadar pengangguran tinggi, ketidakyakinan pelabur, ketidakstabilan politik dan implikasi buruk akibat Proklamasi Darurat.

Apa yang pasti walaupun dilaksanakan Darurat, namun ianya masih menyaksikan peningkatan kes baharu Covid-19 setiap hari dan ini amat memerlukan langkah drastik yang jauh lebih efektif, pelan vaksinasi komprehensif oleh kerajaan.

Negara yang tercinta ini akan terus kita pertahankan demi rakyat dan agama, diiringi doa agar kita selamat menjalani ibadah puasa dan dijauhkan dari wabak penyakit, serta sentiasa di bawah perlindunganNya.

Sekian, Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak.

Ya Allah,
Berikanlah keselamatan kepada ku untuk Ramadhan ini,
Berikanlah kesejahteraan Ramadhan untuk ku,
Kau terimalah ibadat hambaMu ini Ya Allah.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157823752685952/

Leave a Reply