News_archive

Beri Pengiktirafan Kepada Ibu – Najib

By Saturday May 12th, 2012 No Comments

JOHOR BAHARU, 12 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak seluruh masyarakat agar memberi pengiktirafan kepada golongan ibu generasi X dan Y yang tekad dan gigih mengimbangi kerjaya dan keluarga.

Perdana Menteri berkata generasi X dan Y itu terdiri daripada golongan orang muda yang pantas bergerak, bijak mengatur strategi dan mahir menggunakan teknoloji moden.

Katanya beliau berharap peranan ibu yang mewakili generasi X dan Y dapat mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga supaya mereka berjaya bukan sahaja dalam kerjaya masing-masing tetapi berjaya sebagai seorang ibu.

“Hari Ibu tahun ini memberi fokus kepada peranan ibu-ibu muda terutamanya yang bekerja,” katanya di sini.

Najib membuat rakaman ucapan sempena Hari Ibu yang disambut Ahad di suite Hotel Puteri Pacific di sini selepas menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

“Pada akhirnya saya ingin sekali lagi mengucapkan selamat menyambut Hari Ibu, mudah-mudahan dengan komitmen semua ibu di Malaysia ini, negara Malaysia akan bertambah lebih kukuh dan lebih berjaya lagi. Selamat menyambut Hari Ibu 2012,” katanya.

Sementara itu, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dalam ucapannya berharap golongan ibu menjaga anak mereka dengan baik serta memberi sepenuh kasih sayang agar mereka menjadi rakyat yang berguna, berhemah tinggi dan bersopan santun apabila mereka besar kelak.

“Kepada anak-anak, saya ingin mengingatkan sayanglah ibu kamu. Jangan sekali-kali melupakan jasa ibu yang telah ditaburkan kepada kita semua. Jangan sekali-kali memberi kesusahan dan juga menggores hati ibu kamu.

“Ingatlah syurga adalah di bawah tapak kaki ibu,” katanya.

Source : Bernama

Leave a Reply