News_archive

Belanjawan negara 2012 – Utamakan rakyat

By Tuesday October 4th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, Jumaat ini, akan mengimbangi kepentingan negara dan keperluan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri berkata, strategi itu bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat dibantu dan ekonomi negara terus kukuh berikutan kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi dunia dan kenaikan kos serta harga barangan.

“Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti bagi meringankan beban golongan ini, seperti bantuan kewangan, subsidi, insentif, bantuan latihan, kemahiran, perkhidmatan kesihatan dan perumahan.

“Kerajaan yakin semua inisiatif yang akan diumumkan pada Jumaat ini akan dapat menangani kesulitan golongan pendapatan rendah dalam cabaran persekitaran ekonomi yang sangat hebat,” katanya menjawab kebimbangan beberapa Ahli Parlimen mengenai strategi Malaysia menghadapi kemelesetan ekonomi pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Dewan Rakyat yang bermula semalam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan ekonomi negara terus kukuh dengan melaksanakan langkah mengurangkan beban rakyat dan merancakkan penggunaan domestik.

Terdahulu, Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) meminta kerajaan menyatakan langkah yang diambil bagi memperkukuh Malaysia terhadap kemerosotan ekonomi dunia.
Najib yakin prestasi ekonomi negara akan terus berkembang, walaupun berhadapan ketidaktentuan persekitaran negara luar, termasuk kelembapan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat, krisis hutang kerajaan di Eropah dan inflasi akibat peningkatan harga komoditi.

“Namun kesan ini dijangka memberi impak minimum memandangkan kekuatan daya tahan dan asas ekonomi yang mapan dan perancangan kerajaan dalam memastikan ekonomi kekal kukuh.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply