News_archive

Belanjawan 2012 Fahami Denyut Nadi Rakyat, Kata PM

By Sunday October 16th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) — Belanjawan 2012 adalah belanjawan yang paling banyak diperkatakan kerana rakyat merasakan kerajaan memahami tuntutan dan denyut nadi mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah mendengar kehendak dan masalah rakyat sebelum diterjemahkan dalam Belanjawan 2012 dan pelbagai inisiatif lain.

“Kalau rakyat rasakan tekanan daripada kos sara hidup yang semakin meningkat, kita mesti tangani masalah ini. Jadi pertama kali dalam sejarah kita, kita beri RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Kuota kaum tidak ada. Tidak ada kuota wilayah, dari Perlis, Padang Besar sampai ke Semporna. Daripada petani ke lanun tapi bukan lanun sebenarnyalah. Ini dia bajet rakyat.

“Kita catat sejarah sebab kita telah baca apabila kita mendengar kehendak rakyat. Sara hidup, perumahan, pendidikan, kesihatan, ini empat perkara keperluan asas rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-40 di Menara PGRM di sini, hari ini.

Najib berkata Belanjawan 2012 yang kerap diperkatakan juga telah menenggelamkan belanjawan bayangan yang dibentangkan oleh pembangkang.

“Mana-mana saya pergi pun orang cakap pasal bajet 2012 sampai belanjawan bayangan terus kekal sebagai bayangan. Ia berada dalam bayang-bayang sebab bajet 2012 bersinar dengan begitu terang,” katanya.

Perdana Menteri berkata pembangkang tidak boleh mengatakan bahawa Belanjawan 2012 tidak realistik kerana ia berasaskan kepada kemampuan kerajaan dan kehendak rakyat Malaysia.

“Saya nak tengok tahun depan bila kita laksanakan apa pula dia (pembangkang) nak kata. Bila kita mula beri RM500 kepada keluarga pendapatan RM3,000 ke bawah, saya nak tengok apa dia nak kata. Bila kakitangan kerajaan dan pesara dapat bonus, saya nak tengok apa dia nak kata,” katanya.

Beliau juga menempelak sifat tidak konsisten pembangkang yang melemparkan pelbagai tuduhan mengenai Belanjawan 2012.

“Kejap dia kata kita tiru bajet mereka, kejap dia kata bajet kita tidak realistik. Mereka tidak menetapkan mana satu yang betul,” katanya.

Beliau juga menyelar sikap pembangkang apabila membahaskan usul belanjawan di Parlimen yang hanya mengutarakan soal defisit dan hutang namun tidak menyentuh mengenai kepentingan rakyat.

Najib menegaskan sebagai pemimpin negara, beliau akan memberikan apa jua yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply