News_archive

Bayaran BR1M Bukan Dipinjam Bank Dunia, Kata Najib

By Friday January 6th, 2012 No Comments

RAWANG, 6 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan mampu melaksanakan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berikutan kekuatan ekonomi dalaman negara yang menjana hasil memberangsangkan.

Perdana Menteri, yang menolak dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan membuat pinjaman, menegaskan bahawa kerajaan tidak meminjam daripada Bank Dunia bagi membiayai program itu.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kekuatan ekonomi dalaman berikutan pentadbiran yang cekap sehingga berjaya meningkatkan hasil negara sebanyak RM22 bilion tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Najib berkata kali terakhir kerajaan membuat pinjaman daripada Bank Dunia ialah pada 1998 iaitu sebanyak US$400 juta dan tiada lagi pinjaman dibuat selepas itu.

“(Dakwaan pinjaman) yang terbaru ialah di mana kerajaan terpaksa meminjam daripada Bank Dunia untuk pembayaran BR1M.

“Ini jelas tuduhan itu tidak benar sama sekali dan satu lagi dakwaan dalam bentuk pembohongan parti pembangkang,” katanya semasa melancarkan Komuniti 1Malaysia di Bukit Sentosa, di sini Jumaat.

Menerusi program BR1M, yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 pada Oktober lepas, bantuan kewangan RM500 akan diberikan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.

Najib berkata walaupun kerajaan mengadakan program BR1M, defisit negara tidak meningkat malahan berkurangan.

Beliau berkata pembangkang juga cuba mencetuskan kontroversi dan memberi gambaran negatif kepada program kerajaan yang berjaya.

“Tunjuk bukti, kalau tak ada bukti jangan cakap saja. Kita tidak gentar. Kita tidak takut kerana kita berdiri di atas kebenaran,” katanya.

Membandingkan ekonomi negara dengan beberapa negara Eropah, Perdana Menteri berkata gaji kakitangan awam mereka dipotong sedangkan penjawat awam negara ini dinaikkan gaji di bawah Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Selain itu, kata Najib terdapat juga peruntukan mereka seperti dalam sektor pendidikan, pembangunan dan sebagainya yang dikurangkan tetapi di Malaysia ia dikekalkan malah kerajaan juga sanggup memberikan peruntukan tambahan demi rakyat.

“Ini adalah pengalaman menguruskan negara dengan cekap dan jika kita (kerajaan) membuat perhitungan yang silap ekonomi negara boleh merudum dengan cepat,” katanya.

Najib berkata suasana ekonomi merudum boleh menghilangkan keyakinan pelabur tetapi Malaysia menyaksikan lebih pelaburan luar masuk ke dalam negara tahun lepas.

“Inilah kejayaan pentadbiran kita. Bila kita buat keputusan kita pastikan tidak menjejaskan kepentingan jangka panjang negara. Kalau perhitungan yang silap apa yang semuanya dibina selama ini akan berkecai sekelip mata.

“Sebab itulah tidak boleh menyerahkan negara kepada mereka yang tidak ada pengalaman mengurus dengan cekap seperti BN (Barisan Nasional),” katanya.

Najib berkata perubahan yang diadakan kerajaan bukan hanya sekadar untuk membuat perubahan kerana ia belum tentu menjanjikan apa-apa tetapi perubahan menyeluruh dari atas ke bawah untuk semua masyarakat melalui transformasi nasional.

Beliau memberikan contoh negara Mesir, apabila berlaku perubahan (kerajaan berikutan demonstrasi) ia melumpuhkan sektor pelancongan negara, negara menjadi tidak stabil dan menjejaskan keselamatan.

Menyentuh pilihan raya umum, Najib berkata beliau tidak tahu sama ada ia akan diadakan pada bulan Julai atau April atau sebagainya.

“Tetapi apabila tiba masa kita mesti tentukan. Masa depan negara hanya terjamin dengan BN. Kita ada gagasan 1Malaysia yang bersifat adil, inklusif dan hak setiap kaum terjamin di bawah Perlembagaan Pesekutuan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Sumber : Bernama

Leave a Reply