News_archive

Banyak Wang Digunakan Untuk Pilihan Raya Kecil

By Thursday April 16th, 2009 No Comments

KLANG, 17 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang sebenarnya tidak perlu diadakan.

Katanya pilihan raya kecil itu sepatutnya hanya diadakan apabila seseorang wakil rakyat itu meninggal dunia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti di Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Khamis.

“Peletakan jawatan ini merupakan keputusan politik dan boleh disifatkan sebagai mainan politik untuk tujuan tertentu. Jadi rakyat pada umumnya tidak suka pilihan raya kecil yang sengaja diadakan,” kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-63 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM).

Ditanya adakah perbuatan ADUN Penanti itu mengkhianati pengundi di kawasan itu, Najib berkata itu terpulanglah kepada rakyat.

Najib berkata: “Ada banyak pendapat sekarang ini kita terlalu banyak sangat politiking dalam negara kita, walhal pada masa sekarang kita harus tumpu kepada usaha memulih ekonomi negara dan membela kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan untuk melihat ke hadapan dari segi masa depan negara kita dan membawa Malaysia ke tahap kejayaan yang lebih tinggi.”

Mohammad Fairus mengumumkan peletakan jawatan sebagai ADUN Penanti yang dimenangninya pada pilihan raya umum tahun lepas berkuatkuasa semalam.

Dalam kenyataan beliau semalam, katanya keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pasca siswazah dan sekaligus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

Katanya ruang ini juga beliau akan gunakan untuk menumpukan usaha bagi membersihkan nama baiknya dari segala tomahan yang dilemparkan selama ini.

Mohammad Fairus, 32 kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan dakwaan penyelewengan dalam kerja-kerja kuari.

Beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri berkuatkuasa 8 April lepas.

Najib juga berkata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan selain daripada kematian, sebab-sebab lain yang membolehkan pilihan raya kecil diadakan ialah jika seseorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen itu diisytiharkan bankrap atau tidak berupaya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya kerana faktor-faktor tertentu.

Bagaimanapun, beliau berkata meletak jawatan adalah bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen.

“Meletak jawatan sebenarnya bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen kerana apabila anda menawarkan diri anda hendaklah komited untuk bekerja dalam tempoh penggal parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk memberikan khidmat kepada orang ramai,” katanya.

Mengenai kemungkinan berlaku tunjuk perasaan di Malaysia seperti di Thailand berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, Najib berkata: “Saya tidak nampak…sebab kita adalah negara dan masyarakat yang berpegang teguh kepada keluhuran perlembagaan dan undang-undang negara, jadi peraturan undang-undang menjadi prinsip dan tonggak yang kita hormati.”

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan penggantungan Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya daripada menghadiri sidang DUN oleh Speaker DUN Perak V.Sivakumar adalah tidak sah.

Najib berkata:”Jangan kita hormati (keputusan mahkamah) bila keputusan itu memihak kepada kita dan bila tak memihak kepada kita, kita buat lain pulak.”

Setiausaha agung PAS Kamaruddin Jaafar juga dalam lidah rasmi parti itu Harakah mengatakan bahawa tidak mustahil penduduk Perak akan melakukan rusuhan dan demonstrasi ala-Pattaya di Thailand, jika DUN Perak tidak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Ketika diminta mengulas mengenai artikel “Bangkitlah Melayu” yang mengajak orang Melayu bangkit mempertahankan hak mereka yang diterbitkan oleh sebuah akhbar berbahasa Malaysia, beliau berkata: “Kita mesti bersikap sederhana, Islam satu agama yang menggalakkan pemikiran dan amalan yang sederhana, kita tidak boleh bersikap perkauman, kita tidak boleh berfikir secara keterlaluan,” tegas beliau.

Pada majlis itu, Najib juga menyampaikan hadiah kepada seorang pelajar cemerlang tahun lepas, Siti Norsyamiera Samsudin yang mendapat keputusan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) termasuk Bahasa Mandarin selepas merasmikan majlis itu.

Bapa pelajar Sekolah Menengah Tanjung Sepat, Sepang, Selangor itu, Samsudin Hashim ialah seorang kakitangan ACCIM yang telah berkhidmat selama 23 tahun.

Najib berkata pemberian anugerah itu mencerminkan semangat perpaduan yang masih menyatupadukan rakyat Malaysia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply