News_archive

Bantuan Rakyat 1Malaysia; Pemberian Ikhlas Kerajaan

By Monday January 16th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Pada ketika kelompok masyarakat yang memerlukan di negara ini tidak mampu mengharapkan apa-apa untuk meringankan beban hidup, tiada siapa yang peduli, tetapi kini bila mereka dihujani dengan pelbagai bantuan kerajaan, yang mengejutkan, ada pula yang berkata langkah ini tidak betul!

Pemberian kerajaan ini bermula dengan bantuan khas persekolahan sebanyak RM100 untuk setiap pelajar sekolah, yang dibayar November lepas, baucar buku RM200 untuk pelajar Tingkatan 6 dan pelajar Institusi Penganjian Tinggi dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diagihkan kepada rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan, pada Januari.

BR1M terutamanya menarik perhatian negara kerana ia melibatkan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion dan dijangka memberi manfaat kepada 5.2 juta isi rumah, iaitu kira-kira 80 peratus daripada jumlah isi rumah di Malaysia.

Rakyat beratur panjang di seluruh negara untuk memohon bantuan itu dan sekali lagi berbuat demikian ketika menerima baucar tunai pembayaran itu mulai Ahad (15 Jan).

Apapun ramai juga yang begitu yakin bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia itu sebagai muslihat untuk memancing undi dan tindakan yang tidak pernah dilakukan kerajaan ini dianggap penunjuk jelas bahawa Pilihan raya Umum ke-13 sudah begitu hampir.

Abdul Ghapa Harun, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menegaskan bahawa tindakan kerajaan itu patut diterima secara objektif atas kesedaran sudah menjadi kewajipan kerajaan untuk mengambil berat kebajikan rakyat.

WAJAR ATAU TIDAK?

Persoalan yang memerlukan jawapan ialah sama ada pemberian itu bermotifkan politik dan bagi saya; “Memanglah mungkin boleh dikatakan ada unsur politik tetapi itu soal kedua kerana ia merupakan bantuan yang wajar dalam keadaan di mana kos kehidupan semakin meningkat.

“Walaupun RM500 bukanlah satu jumlah yang besar, tetapi ada faedahnya kepada golongan yang memerlukan iaitu mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah kerana sedikit sebanyak dapat menampung keperluan kehidupan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Abdul Ghapa berkata kos sara hidup yang tinggi ketika ini tidak dapat dielakkan bagi setiap negara termasuk Malaysia yang kini dalam proses peralihan daripada berstatus sederhana kepada negara maju menjelang tahun 2020.

Ia berikutan ketidaktentuan harga barang peringkat global disebabkan faktor cuaca, bekalan, krisis ekonomi dunia termasuk penggantungan beberapa sumber makanan di negara lain, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat negara ini.

Abdul Ghapa menarik perhatian bahawa dalam merealisasikan matlamat negara berpendapatan tinggi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi penekanan kepada transformasi politik dan ekonomi untuk membantu rakyat melalui proses peralihan ini.

Namun begitu, ia merupakan satu proses jangka masa panjang untuk melihat hasil daripada dasar berkenaan. Ditambah pula, dengan kemelut kos sara hidup yang meningkat, sedikit sebanyak proses peralihan ini memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Memahami akan keperitan golongan itu, Najib merasakan perlunya satu mekanisme dalam mengagihkan faedah yang diperolehi semasa pertumbuhan ekonomi yang dikecapi dalam proses menuju negara maju.

Menurut Abdul Ghapa, di sinilah terletaknya peranan BR1M sebagai satu mekanisme pengagihan.

“Ini dapat membuatkan tekanan yang dihadapi rakyat akibat transformasi yang dialami semasa proses peralihan itu, dikendurkan,” katanya.

Lebih-lebih lagi, bagi Najib, kejayaan transformasi politik dan ekonominya bergantung kepada sokongan rakyat dan oleh itu kerajaan harus mencari jalan untuk memenangi hati rakyat.

PRIHATIN “AYAH” DAN “ANAK”

Pendekatan Najib dilihat mempunyai persamaan dengan usaha yang pernah dijalankan allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein dalam era 1960an dan awal 1970an semasa inflasi melanda negara.

Abdul Ghapa berkata seperti Najib, Tun Razak juga melaksanakan program transformasi ekonomi dengan pelaksanaan dasar pembangunan jangka panjang, dan untuk menampung kelemahan, di antaranya diperkenalkan tindakan pembetulan jangka masa pendek.

“Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) yang dilancarkan Najib dilihat mempunyai persamaan dengan ‘restoran rakyat’ yang diperkenalkan bapanya yang memberi jaminan harga makanan yang berpatutan.

Bagaimanapun, Najib melangkah jauh lagi dengan memperkenalkan KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia), Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebagai program jangka pendek yang membolehkan faedah segera disampaikan kepada rakyat.

BANTUAN TIDAK DIPOLITIKKAN

Abdul Ghapa berkata sudah tentunya beberapa ahli politik yang tidak bertanggungjawab menggunakan usaha murni kerajaan ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka dengan mempersoal keikhlasan kerajaan, tetapi bantuan itu patut dilihat dari sudut pandangan yang positif.

“Yang penting mereka seharusnya melihat kepada proses pengagihan bantuan itu supaya ia benar-benar sampai kepada rakyat dan memastikan tidak berlakunya penyelewengan,” katanya.

Selain itu, sikap sesetengah pemimpin dalam parti yang menjadikan bantuan sebagai medium untuk menonjolkan diri mereka, turut menyumbang kepada pendebatan mengenai keikhlasan kerajaan dalam meringankan beban rakyat ini.

“Seeloknya elemen kepartian dalam proses pengagihan haruslah dielakkan kerana boleh memberi kesan sebaliknya kepada usaha murni itu,” katanya.

Biar apapun spekulasi terhadap pemberian bantuan BR1M itu, hakikatnya rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah amat memerlukannya dan kehadiran mereka beramai-ramai untuk menuntut pemberian itu jelas menunjukkan mereka menghargai bantuan kerajaan itu.

Ini sekali gus mendorong semua pihak kembali kepada perkara asas mengapa kerajaan dipilih, iaitu untuk membantu rakyat. Justeru, amat wajar bantuan murni seperti BR1M ini tidak dipolitikkan kerana rakyat berhak menerimanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply