Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Bank perlu bersama wujud peluang pekerjaan - Najib Razak
News_archive

Bank perlu bersama wujud peluang pekerjaan

By Monday May 11th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 11 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta bank dan komuniti perniagaan supaya saling bekerjasama dengan kerajaan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, matlamat tersebut harus dijadikan intipati utama dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejajar dengan konsep Satu Malaysia yang memberi peluang kepada semua rakyat untuk menikmati kemakmuran negara.

‘‘Justeru bagi menjadikan Satu Malaysia realiti, kerajaan perlu secara aktif bekerjasama dengan komuniti perniagaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat tanpa mengira kaum dan lokasi, gender atau agama mereka.

‘‘Mereka yang miskin, yang tidak berkeupayaan dan yang terpinggir tidak akan dibiar ketinggalan. Kita harus mempunyai program yang boleh memenuhi keperluan mereka,’’ katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Bank Malaysia Ke-13 di sini hari ini.

Majlis anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) itu turut dihadiri oleh peneraju utama bank-bank di negara ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan mengulangi bahawa kerajaan di bawah pimpinannya mendokong teguh prinsip pentadbiran bertanggungjawab dengan responsif kepada semua rakyat berbilang kaum dan agama.

‘‘Kita perlu telus dan akauntabiliti. Kita akan bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan, kepastian dan daya saing kerajaan.

‘‘Rakyat mesti percaya dengan apa yang kami lakukan. Mendapatkan kepercayaan rakyat adalah usaha penting kerajaan,’’ jelasnya.

Najib berkata, justeru setiap pemimpin kerajaan dan perniagaan kini perlu berusaha bagi memenuhi kepimpinan beretika yang semakin menjadi tuntutan masyarakat umum ketika ini.

Katanya, malah bukan setakat itu sahaja, para pemimpin tanpa mengira peringkat perlu bertindak lebih daripada sekadar seorang yang tiada cacat cela.

‘‘Kejujuran dan integriti adalah sangat mustahak sama ada bagi sektor perbankan, perniagaan atau kerajaan. Tiada tolak ansur kepada kepimpinan etika dan jujur sama ada untuk sektor awam mahu pun swasta,’’ katanya.

Perdana Menteri dalam ucapan tersebut turut menyeru semua pihak supaya saling bergandingan bagi mengukuhkan kerjasama mengatasi segala cabaran yang menanti.

‘‘Saya juga ingin mengajak sektor ketiga iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membentuk masa depan yang lebih cerah dan makmur untuk semua,’’ katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply