Bagaimana Lawatan Duke Dan Duchess Of Cambridge Ke Malaysia Menggambarkan…

By Friday September 14th, 2012 No Comments

Bagaimana Lawatan Duke Dan Duchess Of Cambridge Ke Malaysia Menggambarkan Kekuatan Perhubungan Anglo-Melayu

Pada petang 2 Jun, 1953, suasana kegembiraan jelas terasa di seluruh Malaya. Orang ramai bergembira di bawah langit yang dihiasi kemeriahan bunga api, sewaktu berlangsungnya pertabalan Ratu Elizabeth II di Westminster, England. Sejurus selepas itu, suara Baginda Ratu yang baru sahaja dinobatkan itu, berkumandang di gelombang udara, dan semua yang sedang mendengar di seluruh United Kingdom dan dunia telah mendengar ikrar Baginda Ratu Elizabeth: “Sepanjang hidup saya dan dengan sepenuh hati saya, saya akan berusaha untuk mengangkat kepercayaan anda terhadap saya”. Walaupun tiada siapa meragui keikhlasan kata-kata itu, namun ianya agak menakjubkan memandangkan Baginda Ratu Elizabeth telah berpegang teguh pada ikrar tersebut sehingga kini.

Saya bercakap bagi pihak rakyat Malaysia dalam menyatakan kekaguman saya terhadap Baginda Ratu Elizabeth serta ketenangan, keyakinan dan kemuliaan yang sering dibawa oleh Baginda selama menjalankan tugas dalam pemerintahan baginda yang sudah begitu lama. Baginda memaparkan ciri-ciri yang terbaik yang ada pada orang British: bermaruah, mempunyai semangat yang tinggi dan bekerja keras. Oleh itu ia merupakan satu penghormatan yang amat besar bagi saya semalam kerana dapat menerima dan mengalu-alukan ketibaan Duke dan Duchess of Cambridge ke Malaysia sempena sambutan ulang tahun ke-60 pemerintahan Baginda Ratu.

Pasangan Diraja tersebut merupakan duta terbesar bagi UK dan saya merasa amat gembira kerana dapat makan tengah hari bersama mereka. Baginda Duchess nampaknya amat berminat dengan buah-buahan tropika kita, terutamanya buah durian. Di Asia Tenggara ramai yang menggelarkan buah ini sebagai ‘Raja Segala Buah’, namun ia juga mempunyai bau yang begitu kuat sehinggakan ianya dilarang sama sekali untuk dibawa dalam sesetengah pengangkutan awam.

Kami turut membincangkan ikatan yang sememangnya wujud di antara kedua-dua negara, kerana walaupun terdapat begitu banyak perubahan yang telah dialami dalam tempoh enam dekad semenjak Baginda Ratu memegang takhta – sebagai permulaan, Malaya telah menjadi Malaysia apabila kita mencapai kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1957 – namun hubungan ini yang mempunyai akar umbi dalam sejarah, telah kekal erat.

Pada bulan April lalu, kita juga telah diberi penghormatan menerima lawatan Perdana Menteri David Cameron – Perdana Menteri British yang pertama melawat Malaysia sejak hampir 20 tahun. Dan sewaktu lawatan itu, beliau dan saya telah berikrar bahawa kita tidak akan membenarkan hubungan istimewa antara negara ini terputus begitu sahaja disepanjang jalan. Sebaliknya, kami akan bersama-sama mencergaskan semula perhubungan ini selain memupuk dan membinanya diatas nilai-nilai serta kepentingan bersama.

Kami telah bersetuju untuk menguatkan lagi hubungan politik dan diplomatik, serta menetapkan sasaran untuk menggandakan perdagangan kepada £8 billion menjelang 2016. Malaysia telah mendapat manfaat daripada pengaruh dan pelaburan British sejak bertahun-tahun lamanya. Sewaktu jajahannya, jurutera British telah membina Kelab Selangor di Kuala Lumpur dan Dewan Bandaran Lama di Georgetown, manakala kedai Topshop dan Marks & Spencer pula adalah simbol British yang sentiasa ada di pusat-pusat membeli-belah moden kita. Hari ini United Kingdom juga turut mendapat manfaat daripada ekonomi dan komuniti perniagaan Malaysia yang semakin maju berkembang.

Antara perkembangan terbaru termasuklah pengumuman yang baru sahaja dibuat beberapa bulan lalu mengenai pelaburan yang akan dibuat oleh pelabur Malaysia untuk membangunkan semula salah satu ikon London: Stesen Janakuasa Battersea atau “Battersea Power Station”. Setelah berada dalam keadaan separa-terbiar, pelan rombakan bernilai £8 bilion akan melihatkan tapak tersebut berubah menjadi sebuah kompleks di pinggiran sungai yang sibuk, satu hab aktiviti ekonomi yang dijangka akan mewujudkan kira-kira 30,000 peluang pekerjaan.

Sebagai seorang yang telah mendapat manfaat daripada sistem pendidikan bertaraf dunia di UK, saya juga gembira bahawa kita akan dapat melihat kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan kedua-dua negara. Setiap tahun lebih daripada 13,000 rakyat Malaysia mengembara ke UK untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti-universiti di Britain. Sementara itu, di Malaysia, pelajar dari kedua-dua negara menelaah pelajaran mereka bersama di kampus Universiti Nottingham di Semenyih, kampus penuh universiti British yang pertama di luar negara. Marlborough College, dimana baginda Duchess of Cambridge telah melanjutkan pelajarannya, baru sahaja membuka pintu mereka di Iskandar Malaysia. Saya berharap pelajar-pelajar ini akan membawa bersama mereka kemahiran dan pengalaman yang cukup kaya dan pelbagai, sama seperti apa yang telah saya alami dan manfaati sewaktu pengajian saya di Nottingham dahulu.

Dari segi ekonomi, budaya dan politik, hubungan dua hala antara kedua-dua negara telah berjaya mengatasi ujian masa. Ini adalah kerana sejarah dan nilai-nilai kita begitu saling berkaitan antara satu sama lain. Kedua-dua negara percaya pada kuasa kesederhanaan, kekuatan kebebasan sivil serta keperluan untuk meningkatkan kemakmuran dengan membina ekonomi yang terbuka.

Persamaan antara dua negara turut dilihat pada tabiat kita yang suka minum teh diwaktu petang – pengeluar teh Malaysia, Boh, juga telah menghasilkan adunan istimewa yang baru sebagai penghormatan sempena ulangtahun Jubli Intan Baginda Ratu. Persamaan dalam minuman kesukaan ini merupakan sesuatu yang akan dinikmati oleh Baginda Duke dan Duchess semasa jamuan teh di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British nanti. Hadirin yang dijemput termasuklah dua rakyat Malaysia yang amat bertuah, yang telah memenangi pertandingan membolehkan kedua-duanya untuk mendapat peluang keemasan bertemu dengan Pasangan Diraja tersebut.

Sambutan Ulangtahun Jubli Intan Baginda Ratu ini adalah sesuai pada masanya. Selain meraikan pemerintahan Baginda Ratu, kita juga harus meraikan hubungan sejarah kedua-dua negara sama ada besar mahupun kecil. Sepertimana kejayaan Baginda Ratu memenuhi ikrar yang telah dibuatnya sewaktu pertabalan Baginda 60 tahun yang lalu, saya juga berharap ikrar Perdana Menteri Cameron dan saya untuk memperbaharui hubungan antara negara juga akan turut berjaya menempuhi ujian masa.

http://1malaysia.com.my/my/blog/why-the-duke-and-duchess-of-cambridges-visit-to-malaysia-shows-the-strength-of-anglo-malay-relations/



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/178872735581449/

Leave a Reply