News_archive

Azahar Ibrahim amat sesuai jadi ADUN Tenang

By Thursday January 20th, 2011 No Comments

SUNGAI PETANI 20 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim (gambar) amat sesuai menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Perdana Menteri berkata, ini kerana Azahar mempunyai pengalaman luas, kelulusan dan latar belakang keluarga yang cukup baik untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi.

“Beliau faham segala keperluan dari segi pentadbiran dan mempunyai hubungan yang baik dengan pegawai lain di kalangan kakitangan awam Johor.

“Maknanya bila beliau jadi wakil rakyat nanti, insya-Allah mudah untuk membuat urusan bagi pihak pengundi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kedah di Kelab Cinta Sayang di sini hari ini.

Pengerusi BN itu mengulas pemilihan Mohd. Azahar, 39, sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan pemimpin dan penyokong BN di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Labis, semalam.

Beliau akan menentang Ketua Muslimat Pas Labis, Normala Sudirman, 39, yang dipilih parti itu sebagai calonnya.

Najib berkata, kesesuaian Mohd. Azahar sebagai calon terserlah dari beberapa sudut antaranya mempunyai kelulusan akademik yang baik dan berpengalaman luas sebagai Penolong Pegawai Daerah Kecil Rengit.

“Beliau mudah untuk membuat urusan bagi pihak pengundi di kawasan itu dengan pihak kerajaan kerana beliau kenal secara peribadi pentadbir-pentadbir dalam perkhidmatan awam Johor yang lain.

“Saya juga lihat bahawa beliau daripada keluarga yang besar dan lama (dalam politik). Arwah bapanya adalah ketua UMNO bahagian, bapa saudaranya adalah naib ketua UMNO bahagian, maka beliau mempunyai hubungan keluarga yang besar dalam kawasan itu,” jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply