Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
ASEAN-Korea meterai perjanjian - Najib Razak
News_archive

ASEAN-Korea meterai perjanjian

By Tuesday June 2nd, 2009 No Comments

JEJU, Korea Selatan 2 Jun – ASEAN dan Korea Selatan hari ini menyempurnakan Rangka Kerja Mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif kedua-dua pihak dengan menandatangani perjanjian pelaburan yang diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI).

Pemeteraian perjanjian itu juga bakal menggalakkan pelaburan dari Malaysia ke negara luar dan memudahkan integrasi syarikat tempatan ke dalam ekonomi serantau.

Perjanjian perdagangan bebas itu dijangka meningkatkan perdagangan dua hala kepada AS$150 bilion (RM499.5 bilion) menjelang 2015. Perdagangan di antara ASEAN dan Korea Selatan meningkat dua kali ganda kepada AS$90.2 bilion (RM300.4 bilion) pada 2008 daripada AS$46.4 bilion (RM154.5 bilion) pada 2004.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed menandatangani perjanjian itu bagi pihak Malaysia bersama-sama rakan sejawat ASEAN pada hari terakhir Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan di sini hari ini.

Menurut Mustapa, perjanjian pelaburan itu melengkapi Perjanjian Perdagangan Barangan yang ditandatangani pada 29 Ogos 2006 dan Perdagangan Perkhidmatan pada 21 November 2007.

Beliau menjelaskan perjanjian tersebut akan menggalakkan aliran pelaburan dan mewujudkan rejim pelaburan yang liberal, fasilitatif, telus dan berdaya saing dalam ASEAN dan Korea Selatan melalui:

• liberalisasi rejim pelaburan secara progresif;

• pengwujudan suasana kondusif untuk para pelabur ASEAN dan Republik Korea dan pelaburan mereka;

• penggalakan kerjasama atas dasar faedah bersama;

• penggalakan dan promosi aliran pelaburan dan kerjasama di antara ASEAN dan Republik Korea;

• peningkatan ketelusan bagi peraturan-peraturan pelaburan; dan

• pengwujudan perlindungan untuk pelaburan.

Menurut Mustapa, perjanjian itu mengandungi mekanisme kajian semula untuk meningkatkan ketelusan peraturan-peraturan pelaburan dan membincangkan keperluan liberalisasi rejim pelaburan secara progresif bagi ASEAN dan Korea Selatan.

“Perjanjian ini akan berkuat kuasa setelah sekurang-kurangnya satu negara ASEAN dan Republik Korea mengesahkan serta memaklumkan sesama Pihak Pejanji,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Malaysia di sini.

Beliau memberitahu pelaburan Korea Selatan dalam sektor perkilangan di Malaysia adalah sebanyak AS$55.5 juta (RM 184.8 juta) pada 2008 dan AS$325.2 juta (RM1.2 bilion) pada 2007.

Pelaburan Malaysia di Korea Selatan pula menurut Bank Negara Malaysia adalah berjumlah AS$ 16.7 juta (RM55.8 juta) pada 2008 berbanding AS$6.9 juta (RM23.7 juta) pada 2007.

Semalam, beberapa ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat Korea mengadakan pertemuan dengan Najib bagi menunjukkan komitmen mereka untuk terus melabur di Malaysia.

Antara yang hadir CEO dan Presiden Samsung Thales Co. Ltd., Kim In-Soo, Presiden Hyosung Corporation, Park Jun-Hyoung, Naib Presiden Eksekutif Kanan Daewoo International Corp., Jeon Byeong-Eal dan Presiden Samsung Malaysia, Lee Sang-Bai.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply