Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Asean Akan Sediakan Tatakelakuan Di Laut China Selatan - Najib Razak
News_archive

Asean Akan Sediakan Tatakelakuan Di Laut China Selatan

By Wednesday April 4th, 2012 No Comments

PHNOM PENH, 4 April (Bernama) — Asean akan menyediakan Tatakelakuan Di Laut China Selatan sebelum membincangkan isu tuntutan bertindih dengan China, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau bagaimanapun berkata China tidak akan terlibat dalam urusan penyedeiaan tatakelakuan itu.

“Apabila kami telah selesaikannya dengan Asean, maka barulah kami berbincang dengan China,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-20 di sini yang berakhir Rabu.

Najib berkata beberapa negara menyuarakan dan menegaskan bahawa perbincangan tentang Laut China Selatan perlu diadakan dalam kerangka Asean-China.

Malaysia, Filipina, Brunei, Vietnam, China dan Taiwan membuat tuntutan bertindih wilayah membabitkan Laut China Selatan.

Pada Sesi Permukiman Sidang Kemuncak Asean, pemimpin 10 negara anggota persatuan serantau itu turut menyentuh isu Semenanjung Korea dan menyarankan agar Rundingan Enam Pihak segera disambung demi keamanan, keselamatan dan kestabilan di semenanjung itu.

Najib berkata pemimpin berkenaan berharap rancangan Korea Utara untuk melancarkan misil dalam tempoh terdekat tidak menjadi kenyataan.

Mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global yang diilhamkan Malaysia, beliau berkata Malaysia berterima kasih kepada semua negara anggota Asean kerana menyokong idea itu.

Najib juga menghadiri Sidang Kemuncak Keenam Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Sidang Kemuncak Kelapan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) di sini.

Perdana Menteri berkata walaupun dua kawasan pertumbuhan itu memiliki potensi, pembangunannya tidak mencapai hasil yang diharapkan dan oleh itu beliau mencadangkan agar pembangunannya dipercepatkan, terutama dalam sektor produk halal, perkhidmatan, pelancongan dan pertanian.

Sumber : Bernama

Leave a Reply