News_archive

Asas ikatan kesetiaan dan bai'ah dalam sektor awam

By Sunday May 3rd, 2009 No Comments

PUTRAJAYA 4 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam agar mewujudkan satu bentuk perhubungan berasaskan ikatan janji kesetiaan dan komitmen padu bagi mengukuhkan pencapaian sektor berkenaan.
 
Perdana Menteri berkata, perhubungan berasaskan kepada konsep al-wa’ad dan bai’ah itu adalah lebih kukuh berbanding konsep perkongsian kerja sekali kus mampu mewujudkan suasana kerja yang lebih baik dan tenteram.
 
Beliau menjelaskan, konsep tersebut bukan bermaksud satu bentuk sistem pengarahan kerja bersifat satu hala daripada pihak atasan semata-mata sebaliknya anggota pentadbiran turut berperanan menjaga kebajikan para penjawat awam.
 
“Di atas bahu para anggota pentadbiran (tanggungjawab) untuk menjaga penjawat awam agar mendapat kepuasan kerja, skim perkhidmatan yang boleh kita diperbaiki dari masa ke semasa dan menentukan latihan bagi pembangunan kerjaya dilakukan dengan tersusun.
 
“Menjaga perasaan dan hati mereka dengan mengeluarkan arahan kerja secara bersopan dan berhemah.
 
“Apabila kita dapat mengasaskan hubungan iaitu penjawat awam membuat kerja dengan komitmen dengan kesetiaan tidak berbelah bagi dan pentadbiran kerajaan menjaga kepentingan kebajikan penjawat awam, maka saya percaya akan wujud satu hubungan yang sangat baik dan sangat tenteram antara kita,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.
 
Hadir sama ialah timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri Di JPM, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Tan Sri Mohamed Nor Yakcop dan Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
 
Ia merupakan ucapan pertama Perdana Menteri pada majlis perhimpunan bulanan JPM sejak dilantik memegang jawatan nombor satu negara itu pada 3 April lalu.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply