News_archive

Asas Disediakan Bagi Hubungan Malaysia-china Yang Kekal Abadi

By Wednesday April 4th, 2012 No Comments

NANNING, 4 April (Bernama) — Pepatah kuno China berbunyi “semasa minum air daripada telaga, seseorang tidak harus lupa kepada orang yang menggalinya”.

Oleh yang demikian, semasa Malaysia dan China melancarkan taman perindustrian, projek usahasama di wilayah autonomi Guangxi Zhuang, selatan China, Perdana Menteri China Wen Jiabao mengimbas kembali lawatan oleh perdana menteri kedua Malaysia, allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ke China 38 tahun lalu.

Lawatan bersejarah oleh Abdul Razak untuk menjalinkan hubungan persahabatan China-Malaysia telah membuahkan banyak hasil sepanjang tempoh itu, termasuk terkini usahasama untuk membangunkan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) China-Malaysia seluas 55 km persegi dalam tempoh 15 tahun.

Semasa tirai diturunkan untuk memperlihatkan struktur berbentuk monumen yang tertera nama taman perindustrian itu, dengan bangunan ikonik menara kembar Petronas turut dipaparkan pada latar belakangnya, Wen dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman penuh mesra sebagai melambangkan hubungan akrab yang dinikmati kedua-dua negara sejak era Abdul Razak, bapa Najib.

Dalam ucapannya, Wen berkata beliau sependapat dengan pandangan Najib bahawa asas hubungan China-Malaysia perlu bersandarkan kepercayaan bersama dan menambah kata “rakyat kedua-dua negara perlu meneruskan persahabatan yang dijalin sejak sekian lama itu”.

Selepas itu, kedua-dua pemimpin bersama-sama menanam “pokok persahabatan” di tapak projek itu.

Bagi memastikan pembangunannya berjalan lancar, kerajaan China telah memberikan “status nasional” kepada projek itu. Kedua-dua kerajaan juga berikrar untuk memberikan sokongan padu mereka untuk memastikan pembangunan di QIP adalah bertaraf dunia.

Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia, kira-kira 150km dari sini, terletak dekat dengan pelabuhan bebas cukai Qinzhou yang merupakan pelabuhan di China yang terletak paling dekat dengan negara anggota Asean.

Taman perindustrian itu, inisiatif kerajaan dengan kerajaan, akan fokus pada pembangunan industri pembuatan, teknologi maklumat dan perkhidmatan. Pembangunannya membabitkan tiga fasa dengan fasa pertama meliputi kawasan seluas 15 km persegi dijangka siap menjelang 2015.

Taman Qinzhou ialah taman perindustrian yang ketiga dibangunkan oleh China secara usahasama dengan negara lain, dengan taman serupa di bandaraya Suzhou, timur China dan taman perindustrian eko-bandaraya di Tianjin, bandaraya pelabuhan di utara China.

QIP mempunyai kemudahan lebuh raya Pelabuhan Liujing-Qinzhou dan perkhidmatan kereta api Qinzhou-Sandun ke arah timur dan ke arah selatan pula terdapat lebuh raya dari Qinzhou ke Fangchenggang dan Beihei, perkhidmatan kereta api Pelabuhan Qinzhou-Dalanping dan perkhidmatan kereta api antara Dalanping dan Kawasan Pelabuhan Perdagangan Bebas.

Qinzhou terletak 1,549 batu nautika dari Pelabuhan Klang, 800 batu nautika dari Ho Chi Minh, 836 batu nautika dari Manila, 1,338 batu nautika dari Singapura dan 1,720 batu nautika dari Jakarta.

Menerusi usahasama itu, pihak Malaysia akan diterajui S P Setia Berhad dan Rimbunan Hijau Group manakala China diwakili Qinzhou Jingu Investment Co Ltd.

Apabila siap kelak, bandaraya pantai berasaskan ekologi itu dijangka mempunyai 500,000 populasi, hampir 13 peratus daripada jumlah populasi Qinzhou ketika ini iaitu 3.9 juta.

Dalam ucapannya, Najib menawarkan kepada China usahasama untuk mewujudkan taman bersekutu di Malaysia.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Nanning sebelum berlepas pulang ke tanah air, Perdana Menteri berkata taman bersekutu itu akan dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 600 hektar di Gebeng dekat Kuantan, Pahang, dan tawarannya itu mendapat maklum balas positif daripada Wen.

Najib berkata Kuantan dipilih kerana ia mempunyai pelabuhan yang menghadap Laut China Selatan yang boleh menyediakan hubungan terus dengan pelabuhan Qinzhou.

Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, akan menyelaraskan pelaksanaan projek itu, termasuk memperincikan butirannya dengan kerajaan negeri Pahang.

Najib juga memberitahu wartawan bahawa kerajaan China telah bersetuju membenarkan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia untuk terbang ke Nanning.

Pada majlis pelancaran itu, Najib berkata beliau kagum dengan kelulusan segera dan kemajuan kerja projek itu dan menyatakan pembangunannya amat pantas iaitu mengikut “Qinzhou speed”.

“Hari ini, saya belajar istilah baru, iaitu Qinzhou speed. Jadi, apabila saya mahu sesuatu projek disiapkan dengan cepat, saya akan kata ia mesti dilaksanakan mengikut Qinzhou speed,” katanya.

Ketika ini, China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dan Malaysia ialah rakan perdagangan terbesar China di kalangan negara Asean dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada 2011 mencecah US$90 bilion (RM275.5 bilion).

Projek QIP, dan taman bersekutu yang dicadangkan itu, melambangkan kerjasama jangka panjang antara Malaysia dan China, dan Najib, dalam ucapannya memetik peribahasa China untuk menggambarkan perkara itu: “Satu generasi menanam pokok; genarasi lain dapat berteduh”.

Selepas majlis itu, kedua-dua perdana menteri beredar dengan menaiki kereta dan melintasi papan iklan di tepi jalan yang tertera perkataan yang sesuai menggambarkan keadaan pada ketika ini dan masa depan: “Semoga Persahabatan China-Malaysia Kekal Abadi”.

Sumber : Bernama

Leave a Reply