BlogFeatured Articles

Anugerah Usahawan Gemilang ECER

By Tuesday April 11th, 2017 No Comments

Dalam usaha kita memacu ekonomi negara ke arah kemajuan, kerajaan sentiasa memastikan bahawa semua golongan tanpa mengira latar belakang, di bandar mahupun luar bandar, sama-sama dapat menikmati hasil pembangunan negara serta mempunyai peluang meningkatkan taraf hidup mereka.

Salah satu daripada usaha tersebut di Wilayah Ekonomi Pantai Timur ialah melalui transformasi sosioekonomi serta pembangunan modal insan dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Alhamdulillah, inisiatif ini telah mewujudkan lebih 140,000 peluang pekerjaan bagi penduduk dalam dan luar bandar di negeri-negeri Pantai Timur.

Petang tadi, setelah mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECERDC yang pertama tahun ini, saya telah menyampaikan Anugerah Usahawan Gemilang entrepreneur ECER kepada 19 orang usahawan berjaya, yang bukan sahaja berjaya mengubah nasib mereka dan keluarga melalui kerja keras, tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan buat penduduk tempatan.

Suka saya kongsi kisah salah seorang daripada mereka, Latif Sohor, penerima Anugerah Khas Usahawan. Anak Pahang ini melalui pengalaman amat menyedihkan, kehilangan kaki akibat kemalangan yang terjadi cuma beberapa hari sebelum perkahwinan beliau. Namun hasil semangat dan kegigihan, beliau menjalani latihan daripada ECERDC dan SIRIM, dan hari ini beliau dan isteri mampu mencapai jualan sehingga RM180,000 setahun menjual kuih bahulu melalui “Kedai Latif dan Noraini” mereka.

Saudara Goh Hock Soon, penerima Anugerah Usahawan SME ECER Kelantan, menjalankan perniagaan membekal dan memasarkan sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Melalui program entrepreneur ECER-Maybank, beliau berjaya mengembangkan perniagaan dan kini menggaji 100 orang pekerja ladang, berbanding cuma 15 orang sebelum ini.

Begitu juga dengan saudara Safrali Ghazali, penerima Anugerah Usahawan SME ECER Pahang. Perniagaan katering beliau SAF Enterprise kini telah berkembang maju setelah menerima pembiayaan melalui program entrepreneur ECER-Maybank, dengan hasil jualan tahunan mencecah RM4.25 juta. Tetapi lebih daripada itu, beliau juga kini berupaya menggaji 70 orang penduduk tempatan, selain menyediakan peluang buat pelajar-pelajar menjalani latihan praktikal. Malah ada daripada pelajar tersebut sudah bekerja tetap di SAF Enterprise.

Inilah antara kesan sampingan, atau “spillover-effect” yang kerajaan ingin dan jangkakan melalui program dan inisiatif kita membantu para usahawan. Kerajaan membantu para usahawan meningkatkan pendapatan mereka, dan para usahawan pula seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Saya gembira dan bangga dengan pencapaian kesemua 19 penerima anugerah Usahawan Gemilang entrepreneur ECER hari ini, dan saya harap lebih ramai dapat mengikut jejak langkah mereka, mengambil inisiatif, peluang dan ruang yang telah kerajaan sediakan melalui ECERDC bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Insya-Allah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Leave a Reply