Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Angka Covid yang kita lebih perlu perhatikan dan pentingkan ialah jumlah... - Najib Razak

Angka Covid yang kita lebih perlu perhatikan dan pentingkan ialah jumlah…

By Sunday January 31st, 2021 No Comments

Angka Covid yang kita lebih perlu perhatikan dan pentingkan ialah jumlah pesakit dalam kategori ke-4 dan ke-5 iaitu yang sudah kritikal dan yang paling kritikal sehingga memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kedua-dua angka ini sudah naik hampir 3 kali ganda dalam bulan ini walaupun PKP telah berjalan untuk 18 hari.

Kita sedia maklum bahawa jumlah katil yang disediakan untuk semua pesakit Covid yang tidak kritikal dalam sistem kesihatan kerajaan sudah jauh dilepasi setelah kes aktif Covid mencanak naik ke 47,388 orang semalam.

Kita boleh bina atau sediakan tempat lain sebagai pusat kuarantin dan rawatan kes risiko rendah dengan lebih laju atau suruh pesakit yang tidak kritikal untuk kuarantin dan rawat diri dalam rumah seperti apa yang kerajaan terpaksa laksanakan sekarang.

Tapi kita akan menghadapi masalah untuk membina dan menyediakan lebih banyak lagi katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam masa yang singkat sebab ianya memerlukan nurse dan doktor yang terlatih serta alat-alat yang khusus.

Pada 2 November 2020, KKM mengumumkan bahawa jumlah hospital yang merawat pesakit COVID-19 telah meningkat kepada 46 hospital dengan kapasiti katil ICU sebanyak 910. Dari jumlah 910 tersebut, 516 katil telah dikhususkan untuk pesakit COVID-19.

Namun angka pesakit kritikal Covid telah naik dari 100 pesakit pada awal Januari ke 319 orang dalam ICU setakat semalam.

Jika trend berganda ini berterusan maka angka 319 pesakit kritikal ini bakal menjadi lebih 900 orang pada akhir bulan Februari.

Dan jika berganda lagi pada bulan Mac, ianya mungkin naik ke 2,700 pesakit.

Ini satu keadaan yang amat berbahaya sebab katil ICU bukan diperlukan untuk pesakit Covid sahaja tetapi digunakan bagi sesiapa yang mengalami kecemasan seperti serangan jantung, serangan strok, kemalangan jalan raya, ataupun sebarang kecemasan yang memerlukan ICU.

Sekiranya ICU kita penuh, pesakit bukan COVID yang memerlukan rawatan kecemasan tidak dapat diberikan rawatan dalam sistem hospital.

Jika PKP 2.0 setengah masak tidak berkesan untuk turunkan jumlah kes Covid setiap hari dan memutuskan trend kenaikan pesakit dalam ICU, adakah kerajaan perlu membuat sesuatu untuk memperbetulkan keadaan?

Adakah kaedah paling tepat kerajaan ialah hentikan PKP 2.0 dan gantikannya dengan 3 bulan PKPB yang terbukti gagal sebelum ini dengan harapan kes baru akan turun ke 2 angka?

Apapun, kita perlu pantau rapi angka-angka pesakit kritikal ini agar jumlah orang yang maut akibat Covid tidak terus mencanak naik.

Kita tidak mahu trend 15-16 kematian setiap hari ketika ini berganda menjadi 50 atau 100 pada bulan-bulan mendatang.

15 orang meninggal setiap hari bermaksud 5,500 nyawa dalam setahun.

100 pula menjadi 36,500 orang.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157666786135952/

Leave a Reply