News_archive

Anggota Umno Veteran Teruja Terima Kunjungan Najib Ke Rumahnya

By Saturday February 25th, 2012 No Comments

KUALA SELANGOR, 26 Feb (Bernama) — Seorang anggota Umno berusia 83 tahun yang menyertai parti itu sejak awal penubuhannya, hari ini menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke rumahnya di Batu 6, Kampung Asahan di sini, hari ini.

Embam Jantan dari cawangan Kampung Asahan di sini berkata beliau masih setia sebagai anggota Umno di cawangan berkenaan sejak parti itu ditubuhkan oleh pengasasnya, Datuk Onn Jaafar.

“Saya memang teruja menerima kunjungan Perdana Menteri yang sempat meluangkan masa kira-kira sejam bersama 17 anak, 56 cucu serta 23 cicit saya,” kata ibu tunggal itu kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Terdahulu, Najib melawat Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam selama kira-kira 20 minit.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang Dr Mohamad Khir Toyo serta Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Perdana Menteri menunaikan solat zohor di Masjid Kampung Kuantan.

Beliau yang melakukan tinjauan susulan ke beberapa daerah di negeri Selangor hari ini mengakhiri lawatannya dengan menyertai kira-kira 50,000 penduduk tempatan bagi Sambutan Pesta Ponggal di Padang TNB Batu 9, Kapar.

Sumber : Bernama

Leave a Reply