News_archive

Anggota PSSLM Mesti Bangkit Mendokong Transformasi Negara – Najib

By Tuesday July 5th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) bangkit dan menjadi penggerak transformasi negara.

Beliau berkata latihan amali seni silat yang dipelajari harus diterap dalam aktiviti harian mereka bagi menyumbang dan membawa negara ke tahap lebih maju.

“Saya mahu anak-anak lincah bukan sahaja berani berdepan dengan musuh durjana, tapi juga menjadi modal insan yang berani melakukan perubahan daripada yang lemah semangat kepada bersemangat,” katanya pada perhimpunan PSSLM sempena sambutan 50 tahun di Pusat Dagangan Dunia Putra rabu malam.

Najib berkata beliau yakin anggota PSSLM akan bangkit mempertahankan kesejahteraan negara daripada musuh durjana.

Beliau berkata anak-anak lincah juga tidak diajar menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.

Sebaliknya, mereka dididik dengan nilai kerohanian yang tinggi untuk membentuk keperibadian mulia.

Pada majlis sama, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan memilih Pengasas dan Mahaguru PSSLM Tan Sri Omardin Mauju sebagai penerima pertama Anugerah Pendekar Malaysia bagi mengiktiraf sumbangan beliau dalam seni mempertahankan diri.

Omardin menerima selempang khas, sijil penghormatan, sepersalinan baju kebangsaan dan wang tunai RM50,000 daripada Najib.

Sumber : Bernama

Leave a Reply