Anda mungkin boleh meneka apakah isu politik yang paling penting bagi rakyat…

By Wednesday June 13th, 2012 No Comments

Anda mungkin boleh meneka apakah isu politik yang paling penting bagi rakyat Malaysia: ekonomi. Tetapi tahukah anda apakah isu yang kedua paling penting? Jawapannya adalah: jenayah. Berita jenayah mendapat liputan penting dalam media dan secara semulajadinya, membawa kebimbangan kepada semua rakyat Malaysia. Oleh sebab itulah, salah satu pencapaian negara yang kita harus banggakan adalah kedudukan negara kita pada Indeks Keamanan Global yang mana Malaysia telah diletakkan sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara.

Walaupun begitu, tiada ruang bagi kita untuk berpuas hati dalam hal ini – akan sentiasa ada sekumpulan kecil yang akan melanggar peraturan masyarakat demi untuk kepentingan mereka sendiri. Biar saya terangkan apa yang sedang kita lakukan sekarang untuk mengekalkan momentum. Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membanteras jenayah mempunyai beberapa sasaran khusus untuk mengurangkan jenayah selain bermatlamat untuk meningkatkan prestasi PDRM.

NKRA ini bertujuan untuk mengoptimumkan sumber dan memberikan tumpuan kepada jenayah biasa yang tertentu. Sebagai contoh, kecurian kenderaan, yang merupakan jenayah yang paling kerap berlaku, telah dikenal pasti dan ditangani dengan mengadakan rondaan yang lebih kerap di kawasan perumahan, tempat meletak kenderaan serta penguatkuasaan terhadap bengkel haram yang menyumbang kepada kecurian kenderaan.

Kita bernasib baik kerana di Malaysia kita terlepas daripada jenayah besar, berkat daripada kecekapan pasukan anti pengganas di PDRM. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa antara tahun 2006-2009 oleh (Laporan Tahunan NKRA) jenayah jalanan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada keseluruhan jenayah yang dilakukan di Malaysia. Banyak daripada kemajuan dalam mengurangkan jenayah jalanan merupakan hasil daripada pengembangan Program-program Kehadiran PDRM dan Bandar Selamat, dengan mengambil dan menempatkan lebih ramai kakitangan bagi rondaan, serta menaik taraf dan memasang infrastruktur baru.

Dari segi kakitangan, kita kini mempunyai lebih 3 juta sukarelawan RELA yang bekerja sepanjang masa untuk memastikan bandar-bandar kita selamat. Pihak polis juga turut meningkatkan kekerapan berkomunikasi dengan penduduk tempatan dan mengadakan perbincangan meja bulat bersama NGO seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF). Dalam pasukan pula, Jadual Liga Balai terus memberikan motivasi kepada pegawai-pegawai untuk memberikan prestasi kerja yang berkualiti secara konsisten demi untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

Bagi menampung jumlah tenaga kerja yang meningkat, kami telah melengkapkan balai polis dan pusat kawalan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dengan Sistem Pemantauan Bandar Selamat untuk memantau aktiviti jenayah. Pada tahun lepas, lebih 8,000 tiang lampu dipertingkatkan pencahayaannya, 1,300 cermin keselamatan dipasang dan 100 km pagar keselamatan dan pemisah jalan telah dibina di seluruh negara.

Hasilnya, kita telah mengalami penurunan yang ketara dalam jenayah jalanan (39.7%) serta pada Indeks Jenayah (11.1%) dengan lebih 8,000 rampasan dan tangkapan yang telah dibuat menerusi pelbagai Operasi Kebangsaan. 23% daripada tangkapan itu telah dihadapkan ke mahkamah, melebihi sasaran 2011 kami. Ini telah menyebabkan peningkatan dalam persepsi orang ramai terhadap prestasi dan perkhidmatan polis secara keseluruhannya. Walaupun begitu, Kerajaan sedar bahawa orang ramai mempunyai persepsi bahawa jenayah masih berleluasa. Berikutan dengan itu, kami terus berusaha untuk mendengar dan menangani kebimbangan anda kerana sebagai Kerajaan kami juga mempunyai tanggungjawab untuk mengurangkan percanggahan antara persepsi orang ramai dengan keadaan realiti mengenai jenayah yang sudah bertambah baik.

Banyak usaha yang telah dilakukan boleh dibawa ketengah, namun kami akan terus mencari kecemerlangan dalam bidang ini untuk memastikan keselamatan rakyat. Kita semua memainkan peranan dalam hal ini. Saya menggalakkan rakyat Malaysia – daripada individu sehinggalah kepada masyarakat – untuk menyokong usaha-usaha kami dan mengambil bahagian dalam membina persekitaran, masyarakat dan seterusnya, negara yang lebih selamat.



Original post: https://www.facebook.com/najibrazak/photos/a.10150452089045952/10150864011605952/?type=3

Leave a Reply