News_archive

Amanat PM kepada diplomat

By Sunday June 21st, 2009 No Comments

PUTRAJAYA 22 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para diplomat Malaysia supaya sentiasa sensitif terhadap perubahan global serta mengenal pasti peluang serta cabaran yang boleh memberi impak positif kepada negara di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan hanya dapat mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara lain dan mengambil kesempatan terhadap ruang yang ada jika dibekalkan dengan nasihat yang tepat.

”Saya percaya dengan para diplomat kita sekiranya mereka dapat melengkapkan diri dengan segala pengetahuan dan berupaya mempertingkatkan kemahiran dalam tugas masing-masing.

”Mereka tahu apa yang patut dilakukan dan bila ada perjumpaan, kita dapat memberikan mereka maklumat terkini serta menentukan apa keutamaan dan fokus yang patut diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Malaysia Ke-7 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Najib berkata, diplomasi bukan hanya berkisar tentang dialog antara negara tetapi ia turut merangkumi interaksi antara kerajaan, ahli perniagaan, organisasi antarabangsa dan masyarakat madani serta orang awam.

Menerusinya, kata beliau, para diplomat Malaysia perlu memupuk dan menjalin hubungan yang erat dengan media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan pemikir dan masyarakat madani di negara mereka berkhidmat.

”Saya tahu memang ada usaha-usaha untuk memburukkan negara kita melalui media baru di peringkat antarabangsa.

”Tetapi kalau kita dapat mempamerkan kejayaan kita sehingga mendapat pengiktirafan, saya percaya lebih ramai yang akan mengenali dan berurusan dengan negara kita,” katanya.

Ditanya mengenai persepsi terhadap Malaysia di arena antarabangsa, Najib berkata, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang moden dan progresif selain sebuah negara Islam yang menghormati agama-agama lain.

”Ia merupakan contoh yang amat baik dan telah diiktiraf oleh Presiden Amerika Syarikat (Barack Obama) sendiri dalam ucapannya di Kaherah baru-baru ini,” kata Perdana Menteri.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply