News_archive

Amalan Prinsip Wasatiah Dalam Pentadbiran Jamin Kejayaan – Najib

By Saturday July 23rd, 2011 No Comments

KANGAR, 23 Julai (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa melaksanakan pentadbiran berdasarkan prinsip wasatiah (bersederhana) kerana ini dapat menjamin kebahagiaan, keselesaan dan kejayaan cemerlang negara.

Perdana Menteri menegaskan dengan kesejagatan dan kefahaman wasatiah yang tinggi dalam pentadbiran, negara akan terus maju dan dipandang tinggi.

“Prinsip ini sangat penting untuk diteruskan kerana itu sebenarnya Islam. Tiada Islam yang ekstrem…kalau amalkan keterlaluan kita sudah lari dari kefahaman Islam sebenar.

“Lakukan pentadbiran berdasarkan wasatiah sebagai amalan kalau inginkan kebahagiaan, keselesaan dan kejayaan kerana itulah jalan terbaik,” kata Najib dalam ucapan pada majlis mesra bersama Imam, Pengetua, Guru Besar, Guru-guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Rakyat di sini Sabtu.

Pada majlis itu Perdana Menteri berkata, beliau berbangga kerana berpeluang meluangkan masa bertemu sekumpulan pemimpin masyarakat yang sangat berpengaruh di kalangan umat Islam di peringkat akar umbi.

Perdana Menteri menegaskan peranan para imam sangat besar dalam membentuk akhlak serta pemikiran rakyat bagi membangunkan masyarakat Islam yang lebih berjaya dan cemerlang.

Najib yang dalam lawatan sehari ke Perlis kemudian menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada tiap sebuah dari sembilan sekolah agama tersebut.

Bantuan RM1,000 juga disampaikan kepada imam-imam untuk masjid masing-masing menganjurkan moreh sepanjang Ramadan yang menjelang tiba.

Sumber : Bernama

Leave a Reply