Akibat masalah bekalan, rancangan kerajaan ialah untuk 70% daripada warga…

By Jumaat Januari 29th, 2021 No Comments

Akibat masalah bekalan, rancangan kerajaan ialah untuk 70% daripada warga Malaysia diberi vaksin seawal-awalnya pada akhir Disember 2021 dan selewat-lewatnya pada Ogos 2022.

Itupun untuk warga Malaysia sahaja. Jika pekerja asing yang jumlahnya berjuta-juta tidak divaksinkan maka Malaysia tidak akan capai tahap minima 70% hingga 80% penduduk (bukan warganegara sahaja) untuk imuniti kelompok (herd immunity) di mana penularan tempatan dapat dihentikan.

Saya percaya seluruh Rakyat tak sabar untuk negara kita bebas Covid secepat mungkin dan tidak mahu ancaman Covid berterusan untuk 18 bulan lagi.

Pada saya, masalah terbesar pemberian vaksin bukan masalah bekalan vaksin yang sedang dihadapi tetapi masalah logistik dan kapasiti pegawai terlatih untuk menyebar dan menyuntik vaksin ke seluruh negara.

Saya ramal masalah bekalan vaksin akan selesai tidak lama lagi sebab:

1) akibat kegelisahan untuk menjamin bekalan yang mencukupi, banyak negara-negara barat dan kaya telah terlebih tempah vaksin dari pembekal vaksin yang berbeza. Tempahan berlebihan ini akan dilepaskan pada bulan-bulan mendatang.

2) kapasiti pembuatan vaksin boleh ditingkatkan dengan amat laju. Untuk mengkaji, menghasilkan dan menguji formula vaksin adalah paling susah. Setelah tercipta dan diluluskan, penghasilan vaksin bukan satu masalah besar.

3) Beberapa vaksin Covid baru dari negara-negara lain sedang dan akan diluluskan dan dihasilkan.

Sebagai contoh, negara India adalah pengeluar vaksin terbesar dunia. Hampir 60% daripada vaksin seluruh dunia dihasilkan oleh India.

India memaklumkan bahawa negara tersebut mampu menghasilkan 500 juta vaksin covid setiap bulan.

Rancangan India ialah untuk 300 juta penduduk mereka diberi vaksin sebelum bulan Julai 2021.

Dengan itu, India sudah mula memberi vaksin Covid kepada warga mereka secara besar-besaran dengan dua vaksin berbeza yang diluluskan negara India – iaitu AstraZeneca dikeluarkan bersama Oxford Universiti dengan kilang India yang turut digunakan oleh beberapa negara barat termasuk United Kingdom dan Covaxin yang dimilik dan dihasil syarikat tempatan Bharat Biotech International Ltd.

Bharat Biotech ini sudah 24 tahun beroperasi dan sudah menghasilkan 16 vaksin lain sebelum ini.

Namun, kontroversi tercetus sebab kerajaan India telah meluluskan dan mula memberi Covaxin kepada warga India secara besar-besaran sebelum ujian fasa 3 terkahir berakhir walaupun keputusan ujian fasa 1 dan 2 amat menggalakan.

Akibatnya, hampir separuh warga India yang dijadualkan untuk diberi Covaxin enggan menerimanya.
“27 Jan 2021: India Has Plenty of Coronavirus Vaccines But Few Takers”
https://www.bloomberg.com/news/articles/2021-01-26/india-s-unusual-vaccine-problem-plenty-of-shots-but-few-takers

Saya juga berpendapat bahawa pelan India untuk memberi vaksin kepada 300 juta akan mengalami masalah akibat isu logistik, pendidikan warga India mengenai vaksin dan saiz negara yang besar.

Erti kata lain, negara India mampu menghasilkan lebih banyak kuantiti vaksin berbanding kapasiti negara itu untuk memberi kepada warga sendiri.

Keputusan akhir ujian fasa 3 Covaxin akan diketahui tak lama lagi dan keberkesanan dan keselamatan vaksin tersebut juga akan diketahui tidak lama setelah diberi kepada jutaan rakyat.

Oleh itu, saya rasa kerajaan Malaysia patut berunding dengan negara India sekarang juga untuk menempah vaksin AstraZeneca dan juga Covaxin.

Jika Covaxin akhirnya tidak terbukti berkesan dan wang deposit negara hangus maka biarkannya hangus sebab pulangan yang mampu diperolehi dari tempoh masa untuk negara Malaysia bebas Covid adalah jauh lebih besar berbanding wang deposit yang hangus.

Namun saya kurang percaya bahawa negara India begitu tidak bertanggungjawab sehingga menggadaikan nyawa ratusan juta warga mereka jika mereka tidak ada keyakinan besar pada vaksin-vaksin yang diluluskan dan diberi mereka.

Atas faktor-faktor di atas, tumpuan kerajaan patut diberi kepada isu logistik agar kita ada pelan dan infrastruktur yang mampu memberi vaksin kepada seramai penduduk Malaysia (termasuk pekerja asing) dalam masa yang paling singkat.

Yang boleh dirancang sekarang termasuk:
– selain hospital dan pusat kesihatan kerajaan, klink-klinik swasta seluruh negara perlu dilibatkan sebagai pusat vaksin.
– nurse dalam latihan tetapi belum lulus kursus juga boleh dilatuh dan dimobilisasikan untuk memberi vaksin sebab penyuntikan vaksin bukanlah satu kerja yang memerlukan kepakaran yang sangat khusus.
– pusat-pusat mengundi yang digunakan setiap kali PRU juga boleh dijadikan pusat vaksinasi. Jika kita mampu menyediakan tempat untuk majoriti Rakyat mengundi dalam satu hari ketika PRU maka tempat-tempat tersebut juga boleh digunakan sebagai pusat vaksinasi sementara. SPR boleh memberi senarai dan bekerjasama dengan KKM untuk menjayakan cadangan ini.
– levi vaksin juga boleh dikutip oleh jabatan imigresen dari semua majikan yang mengambil pekerja asing untuk membiayai sebahagian kos vaksin.

Dengan itu, saya harap kerajaan akan fokus pada kapasiti dan pelan logistik untuk memberi vaksin kepada seramai penduduk dalam masa paling singkat tanpa dilambatkan oleh kebimbangan bahawa bekalan vaksin tidak mencukupi sebab besar kemungkinan bahawa masalah bekalan vaksin seluruh dunia akan selesai tak lama lagi.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157661446045952/

Leave a Reply