News_archive

Ahli Politik BN Perlu Belajar Cara ‘Sentuhan’ Perdana Menteri

By Tuesday April 19th, 2011 No Comments

KOTA KINABALU, 19 April (Bernama) — Naib presiden Parti Gerakan Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata ahli politik Barisan Nasional (BN) perlu belajar daripada cara ‘sentuhan’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil hati rakyat untuk mendapatkan sokongan mereka.

Cara kepimpinan Najib, dasar dan kehadirannya di Sarawak dikatakan sebagai faktor utama dalam membantu BN mengekalkan majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

“Adalah penting dalam apa sahaja yang kita buat, ia (tindakan itu) perlu sampai dan ‘menyentuh’ mereka (pengundi),” katanya kepada pemberita di sini Selasa apabila diminta mengulas keputusan pilihan raya itu.

Tan berkata banyak yang perlu dipelajari oleh ahli politik BN daripada pilihan raya Sarawak itu, terutama dalam bertanya kepada diri mereka sama ada mereka telah melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan rakyat.

“Mungkin tidak cukup. Kita tidak boleh buat kesimpulan bahawa apa yang kita buat telah mencukupi,” katanya.

Tan berkata keputusan yang diambil oleh beberapa pengundi di Sarawak untuk memilih calon parti pembangkang perlu diterima dan peralihan sokongan kepada pembangkang mempunyai kaitan dengan perasaan tidak puas hati terhadap kegagalan memenuhi keperluan rakyat.

“Kami telah melihat banyak perkara dalam kunjungan ke Sarawak (semasa kempen). Dalam fikiran saya, terdapat perasaan tidak gembira dan kecewa…ada perkara yang perlu dilakukan tetapi tidak dilaksana,” katanya.

Tan, yang juga Menteri Pembangunan Industri Sabah mengakui bahawa gelombang yang memihak kepada pembangkang tidak hanya melanda kawasan bandar tetapi juga di luar bandar seperti yang boleh dilihat daripada jumlah undi yang cukup besar yang diperoleh pembangkang di kawasan lain.

“Ia berlaku di mana-mana, setiap masyarakat, bukan hanya di kalangan pengundi Cina.

“Mereka (pengundi) telah membuat keputusan mereka. Mesti ada sebab untuk mereka mengundi seperti itu. Mereka tidak hanya melihat (isu) Sarawak. Pemikiran mereka terbuka, mereka melihat pelbagai isu dalam negara,” katanya.

Bagaimanapun Tan juga berkata pembangkang mengambil kesempatan terhadap kekecewaan masyarakat dengan cara agresif.

“Mereka (pembangkang) juga amat bersedia. Mereka merancang segalanya, sangat teratur, amat terperinci — kita patut belajar sesuatu daripada Sarawak. Saya belajar,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply