News_archive

‘Ah Jib Gor’ Beri `Angpau’ RM2.5 Juta Kepada SMJK Chong Hwa Jalan Gombak

By Friday January 20th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa Jalan Gombak di sini untuk pembinaan bangunan baru sekolah berkenaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah pun meluluskan model pembangunan projek tersebut, dan peruntukan yang diberikan merupakan sebahagian daripada peruntukan Belanjawan 2012 bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

“Sebagai brother… Ah Jib Gor, saya nak beri angpau kepada sekolah ini. Ini sumbangan ikhlas kepada rakyat,” katanya semasa melawat sekolah berkenaan dalam program turun padangnya ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai laman sosial Facebook bahasa Cinanya ‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud ‘Abang Najib’ yang dilancarkan tiga hari lepas, Najib berkata laman sosial itu telah menarik kira-kira 12,000 pengikut, dan beliau berharap jumlah pengikut laman sosial itu akan bertambah lagi selepas ini.

Najib, yang menyifatkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa itu sebagai sekolah yang baik tetapi memiliki bangunan yang lama, berkata sumbangan yang diberikan kepada sekolah berkenaan akan turut mendapat pelepasan cukai.

Perdana Menteri turut mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dengan harapan Tahun Naga ini akan mencetuskan kejayaan kepada kira-kira 1,000 pelajar yang hadir pada majlis berkenaan.

“Tahun Naga tahun baik untuk pilihan raya… atau pun (pilihan raya) tahun depan,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengerusi Lembaga Pengelola SMJK Chong Hwa Datuk Lim King Hoo.

Sumber : Bernama

Leave a Reply