News_archive

‘Saya PM semua komuniti’

By Tuesday April 14th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 14 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan keazaman beliau untuk menjadi Perdana Menteri bagi semua komuniti tanpa mengira agama dan kaum.

Sejajar hasratnya itu, katanya, beliau akan berusaha menyatupadukan rakyat berasaskan konsep Satu Malaysia yang intipati utamanya berlandas kepada semangat saling mempercayai dan hormat menghormati antara satu sama lain.

“Kita mesti meruntuhkan sebarang halangan antara kaum dan tidak seharusnya melihat antara satu sama lain berasaskan warna kulit.

“Setiap orang mesti menolong satu sama lain tidak kira mereka daripada komuniti mana. Kalau individu ini patut ditolong, dia sepatutnya dan mesti ditolong oleh kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Vaisakhi di Kuil Tatt Khalsa Diwan, Chow Kit di sini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Najib yang tiba pada pukul 9.30 pagi meluangkan masa selama 45 minit beramah mesra dengan kira-kira 2,000 hadirin dan menikmati juadah tradisional kaum itu seperti prata, barfi dan laddoo.

Beliau menghadiri majlis itu dengan memakai songkok sebagai menghormati peraturan kuil yang mensyaratkan pengunjung mesti menutup kepala.

Menurut Najib, beliau percaya sekiranya semua kaum dapat menghayati konsep Satu Malaysia dengan bekerja sebagai satu pasukan atau keluarga, ia akan menjadikan negara ini lebih kuat dan makmur.

Menyentuh kehadirannya ke majlis hari ini, beliau berkata, ia sebagai mengiktiraf dan mengucapkan terima kasih terhadap sumbangan kaum Sikh kepada pembangunan Malaysia.

“Walaupun kaum Sikh di negara ini agak kecil iaitu kira-kira 100,000 orang, tetapi sumbangan mereka terhadap sejarah dan pembangunan negara amat besar dan bermakna. Saya berharap mereka akan terus bersama-sama dengan kerajaan pada masa depan,” ujarnya.

Sumber : Utusa

Leave a Reply