News_archive

‘ Nilai saya dari tindakan bukan khabar angin ’

By Sunday March 29th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 28 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak menilainya berdasarkan tindakan selepas mengambil alih tugas Perdana Menteri dan bukan melalui khabar angin dan tuduhan liar yang berniat jahat.

Presiden UMNO yang baru itu berkata, beliau akan melakukan pembaharuan dan perubahan seperti yang dinantikan rakyat dan oleh itu semua pihak mesti berlaku adil kepadanya dalam menilai kepimpinannya.

Najib yang mengulas pelbagai tuduhan ke atasnya yang dilihat sebagai menyelubungi politiknya ketika ini berkata, beliau yakin semua tuduhan itu akan dapat diuruskan sebab ia tidak benar.

”Semua itu adalah kerja pembangkang demi kepentingan politik mereka. Saya sudah jawab berulang kali tetapi mereka tetap ulanginya.

”Insya-Allah kita akan uruskan dan kita tahu bagaimana nak buat sebab ia tidak benar, berniat jahat dan tidak berasas,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya Perhimpunan Agung 2008 di sini hari ini.

Ditanya mengenai beberapa tindakannya sebelum ini yang menampakkan beliau mahu mengekang amalan demokrasi di negara ini, Najib sekali lagi menegaskan itu adalah satu penilaian yang tidak berasas.

Kata beliau, adalah tidak adil sama sekali kepadanya untuk diberi penilaian sebegitu ketika mana beliau sendiri masih belum menerajui kepimpinan negara.

”Awak nilai seseorang yang belum masuk pejabat. Tak adil nilai begitu, tolong nilai saya dari apa yang saya lakukan. Saya akan menyusul dengan tindakan. Saya minta dinilai secara adil oleh semua termasuk media (asing).

”Jangan terburu-buru buat kesimpulan sedangkan saya belum pun pegang jawatan, belum buat pengumuman atau buat apa-apa lagi pun,” jelasnya.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal sebelum berakhirnya mandat kerajaan penggal ini pada 2013, Najib berkata, hal itu adalah hak mutlaknya.

”Biar kita tumpukan kepada untuk membina semula parti dan memfokuskan kepada agenda ekonomi.

”Saya rasa wujud perasaan di kalangan rakyat bahawa di Malaysia terlalu banyak politik, tergelincir dari fokus yang penting iaitu pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Najib juga ditanya mengenai bilakah beliau akan membuat rombakan Kabinet dan pengisian jawatan lantikan dalam parti.

Beliau bagaimanapun meminta semua pihak supaya bersabar dan menunggu sehingga beliau dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri.

”Tunggulah dulu. Ini baru habis saja,” ujarnya.

Berhubung tahap hubungan kaum di negara ini, Najib berkata, beliau percaya negara perlu mengatasi beberapa isu di samping melihat ke hadapan untuk kebaikan Malaysia.

”Saya percaya pada konsep ‘Satu Malaysia’ dalam sudut merangka polisi dan membangunkan negara apabila saya ambil alih kelak,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Reply