News_archive

Acara Lelong Kambing Biri-biri Dorper ECER Berjaya Kumpul Setengah Juta Ringgit

By Monday April 23rd, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) — Acara lelongan kambing biri-biri baka Dorper Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang berlangsung pada hujung minggu lepas telah berjaya mengumpul setengah juta ringgit.

Ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada 200 peserta, termasuk Orang Asli, dalam pembiakan dan penternakan di Pekan, demikian diumumkan Isnin.

Disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Pekan, acara lelong itu menyaksikan 389 kambing biri-biri terjual dengan nilai RM221,300 dalam kategori awam.

Sementara lelongan amal menyaksikan 50 kambing biri-biri dijual dengan nilai RM265,000, kata Majlis Pembangunan ECER dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menandakan acara lelongan amal pertama ECER yang melibatkan 12 syarikat menempatkan bida masing-masing. Bida paling tinggi ialah RM120,000 yang dibuat oleh Kuantan Port Consortium Sdn Bhd untuk 10 ekor kambing biri-biri.

Dalam acara lelong pertama pada tahun 2010, ECER telah membantu mengumpul RM265,000 daripada 465 kambing biri-biri yang dijual.

Dorper, baka Afrika Selatan yang dimajukan dengan mengacukkan kambing biri-biri Dorset Horn dan Blackhead Persian, ialah kambing biri-biri yang menghasilkan daging yang paling pesat berkembang.

Datuk Jebasingam Issace John, ketua pegawai eksekutif Majlis Pembangunan ECER, berkata beliau gembira dengan hasil lelongan itu kerana ia menunjukkan kerjasama antara peserta industri dan ECER yang sememangnya baik untuk program penternakan kambing biri-biri ECER.

Beliau berkata walaupun ia kurang daripada tiga tahun skim Agropolitan ini dilancarkan di Pekan, para peserta, termasuk 102 Orang Asli, telahpun mendapat manfaatnya.

“Para peserta telah menyaksikan pendapatan bulanan mereka meningkat kepada RM1,200 ataupun lebih. Keuntungan daripada lelongan ini akan disalurkan kepada kebajikan para peserta Pekan Agropolitan,” kata Jebasingam.

Kambing biri-biri yang dijual di acara lelong itu ialah daripada skim pembiakan kambing biri-biri Agropolitan Pekan di Runchang dan Batu 8.

Aktiviti ekonomi utama Runchang memberi fokus kepada penternakan kambing biri-biri sementara aktiviti ekonomi utama skim Batu 8 ialah dalam perladangan kelapa sawit.

Projek Pekan Agropolitan dijangka menjana 25,000 kambing biri-biri menjelang 2015, sekali gus menjadikan Pekan, hab terbesar untuk kambing biri-biri baka Dorper di rantau ini.

Projek itu ialah antara inisiatif ECER untuk membantu memajukan rantau ini dan meningkatkan kehidupan rakyat.

Sumber : Bernama

Leave a Reply