Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
70,000 masyarakat berbilang kaum sambut Najib di Pahang - Najib Razak
News_archive

70,000 masyarakat berbilang kaum sambut Najib di Pahang

By Saturday April 18th, 2009 No Comments

KUANTAN 18 April – Sokongan padu masyarakat terutama rakyat negeri ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terbukti apabila lebih 70,000 orang hadir ke majlis sambutan meraikan beliau di Pahang hari ini.

Pada majlis pagi ini, dianggarkan 40,000 orang membanjiri Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 di sini manakala lebih 30,000 orang lagi penduduk menyambut ketibaan beliau di Pekan untuk majlis serupa.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menaiki pesawat rasmi dan turun di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, tiba di Padang MPK 1 pukul 9.20 pagi diiringi 56 motosikal berkuasa besar.

Jumlah motosikal itu simbolik kepada umur anak kelahiran Kuala Lipis itu yang mencecah 56 tahun Julai ini.

Ketibaan Najib disambut tepukan gemuruh orang ramai serta paluan kompang selain diwarnai persembahan 620 peserta permainan muzik pelbagai gendang, tarian tradisonal pelbagai kaum, seni mempertahan diri dan koir.

Turut hadir pada majlis bertemakan Satu Malaysia itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan.

Najib meluangkan masa kira-kira satu setengah jam pada majlis itu sebelum bergerak ke Dataran Majlis Daerah Pekan bagi bertemu dengan orang ramai yang menanti ketibaannya sejak awal pagi.

Ribuan orang ramai termasuk pelajar beratur di bahu jalan utama dari arah Kampung Ubai hingga ke Dataran Pekan sambil mengibar Jalur Gemilang bagi menyambut kepulangan Najib ke daerah berkenaan.

Seorang kakitangan kerajaan, Abdul Wahab Hitam, 52, ketika ditemui di Padang MPK 1 berkata, dia teruja kerana berpeluang menyaksikan peristiwa bersejarah kerana julung kalinya Najib pulang ke Pahang sebagai Perdana Menteri.

“Ini hari bersejarah buat Pahang kerana sekali lagi Perdana Menteri disandang anak jati negeri ini dan saya harap Najib memimpin negara ini dengan cemerlang,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Ahli perniagaan, Andrew Wong, 48, pula berkata, dia datang ke Padang MPK 1 sejak awal pagi semata-mata ingin menyaksikan wajah pemimpin nombor satu negara itu dari jarak dekat.

Menurutnya, dia gembira kerana dapat menyertai majlis sambutan yang meriah itu selain berasa bangga melihat masyarakat pelbagai kaum bersama-sama di padang berkenaan untuk meraikan Perdana Menteri yang baru.

Engn Durai, 47, pula berkata, beliau teruja melihat Najib secara berdepan selain menganggap majlis itu memang wajar diadakan untuk Najib.

Bagi Norrafiza Rifaai, 27, dia gembira dapat bersama-sama orang lain menyambut Najib pulang ke Pahang sebagai seorang Perdana Menteri.

“Saya dapati hari ini sangat meriah dan cuaca pun amat baik seolah-olah memberkati beliau pada majlis pada pagi ini,” tambahnya.

Pelajar kolej swasta, R.Thilagavathi, 21, berkata, dia bangga kerana kepulangan Najib ke Pahang secara tidak langsung berjaya mengumpulkan ribuan masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum.

“Ia membuktikan Najib mampu membawa perpaduan lebih erat di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini kelak,” ujarnya.

Tukang jahit, Wong Sam Moy, 60, menjelaskan, dia sukarela datang dari Maran hari ini semata-mata mahu melihat Najib sebagai seorang Perdana Menteri.

Sumber : Utusan

Leave a Reply