News_archive

50,000 dapat manfaat pembiayaan

By Tuesday June 16th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 17 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sehingga April lalu lebih 50,000 perusahaan mikro di negara ini dengan jumlah pembiayaan terkumpul RM533 juta mendapat manfaat daripada skim pembiayaan mikro institusi kewangan.

Kata Perdana Menteri, sejak skim itu dilancarkan pada 2006 ia menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan 79 peratus yang memberi peluang kepada lebih banyak pengusaha membesarkan perniagaan.

Menurutnya, pada masa ini terdapat sembilan institusi perbankan yang menyertai skim itu termasuk Bank Simpanan Nasional yang mempunyai cawangan di seluruh negara.

“Bank Negara Malaysia (BNM) memantau prestasi institusi perbankan yang terlibat supaya berperanan sebagai pemberi pinjaman yang bertanggungjawab.

“Pihak bank juga disaran supaya memastikan kemudahan pinjaman tidak ditarik balik atau permohonan pinjaman ditolak tanpa alasan kukuh,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam soalan bertulis menjawab soalan Ahmad Kasim (PKR – Kuala Kedah) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad bertanyakan adakah kementerian itu membuat kajian terperinci terhadap bank bagi memudahkan urusan pinjaman usahawan dan industri kecil sederhana (IKS), serta langkah-langkah mengharamkan kegiatan ceti haram atau ah long.

Sementara itu pada sesi pagi, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin memberitahu, sebanyak RM120 bilion dikeluarkan oleh institusi perbankan bagi memberi pinjaman kepada usahawan dan peniaga IKS.

Katanya, jumlah itu merupakan 40 peratus yang melibatkan 500,000 akaun daripada keseluruhan peruntukan bernilai RM300 bilion.

“Kadar kelulusan terkini pinjaman IKS adalah 80 peratus iaitu setiap 10 permohonan yang dibuat, lapan diluluskan,” katanya menjawab soalan Ahmad.

Awang Adek menjelaskan BNM pada masa ini sedang menggalakkan institusi perbankan menyusun semula kadar bayaran balik pinjaman IKS bagi meringkankan bebanan kewangan ekoran kegawatan ekonomi semasa.

Katanya, kerajaan bertindak proaktif dengan turut melaksanakan beberapa skim pinjaman IKS seperti Skim Mikro berjumlah RM520 juta, pinjaman Amanah Ikhtiar (RM460 juta), dan Skim Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) RM770juta.

Mengenai tindakan terhadap agensi peminjam wang, Awang Adek berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen sentiasa mengawal selia dan memantau aktiviti golongan itu.

“Pemberi pinjaman berlesen tidak boleh disamakan dengan ah long kerana perniagaan itu mendapat kelulusan kerajaan.

“Bagaimanapun kerajaan sentiasa memberi perhatian sekiranya ada yang melanggar undang-undang,” jelasnya.

Katanya, mengikut statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pada 2006, seramai 227,823 peminjam membuat pinjaman melalui pemberi pinjaman berlesen membabitkan jumlah RM956 juta.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply