45 tahun telah berlalu. Perasaan kehilangan orang tersayang amat pahit dan…

By Thursday January 14th, 2021 No Comments

45 tahun telah berlalu.

Perasaan kehilangan orang tersayang amat pahit dan perit.

Sudah tentu ada followers saya yang faham.

Setiap tahun pada hari yang sama ini, amat susah hati saya melihat gambar-gambar lama ayahanda.

Mengenang detik-detik manis bersamanya.

Arwah Ayahanda saya meninggal pada 14 Januari 1976.

Kesedihan pada tahun ini bertambah setelah pemergian arwah bonda juga baru-baru ini.

Kedua-dua ibu bapa saya sudah tiada di sisi.

Tidak terkata rindunya kami sekeluarga kepada ayahanda dan bonda.

Memikir kembali sewaktu ayahanda di tampuk kepimpinan negara, Malaysia melalui satu tempoh yang amat sukar.

Rakyat luar bandar amat miskin. Majoriti rakyat Malaysia hidup dalam kesusahan.

Hanya sebilangan yang selesa.

Maka pada masa itu ayahanda memberi fokus besar kepada pembangunan luar bandar.

Ayahanda gunakan segala sumber dan jentera kerajaan yang ada untuk menjayakannya.

Dari perladangan ke perniagaan kecil-kecilan serta pembangunan infrastruktur, kesemuanya diusahakan bersama penduduk kampung dan diberikan kepada masyarakat di luar bandar.

Pada masa itu, boleh dikatakan hampir keseluruhan Malaysia ditakrifkan sebagai luar bandar.

Penerima manfaatnya bukanlah generasi pada masa itu kerana pembangunan baru bermula.

Penerima manfaatnya adalah generasi kedua dan ketiga pada masa ini.

Kesusahan, pengorbanan, dan usaha generasi datuk-datuk dan nenek-nenek kita dahulu membawa perubahan hidup kepada generasi-generasi hari ini dan akan datang.

Saya tahu walaupun dalam pembangunan yang stabil pada 2009-2018, terdapat juga kesusahan rakyat yang perlu ditangani.

Maka pada masa itu, saya tetap meneruskan agenda ayahanda dan nadi perjuangan Barisan Nasional dengan memperkenalkan pelbagai kebajikan rakyat.

Dari kesihatan awam, pendidikan, perumahan mampu milik, bantuan kebajikan masyarakat bulanan, elaun nelayan dan petani, geran pekebun kecil, sehinggalah kepada bantuan secara langsung kepada keluarga-keluarga.

Saya sediakan kebajikan dan jaring keselamatan sosial (social safety net) yang menyeluruh.

Sebagaimana masa ayahanda, rakyat kroni saya.

Dalam pada masa yang sama pula, ketika ayahanda di kepimpinan negara, timbul rusuhan di Malaysia.

Maka pada tahun 1969-1971 ayahanda terpaksa mengambil tindakan melaksanakan perintah darurat di Malaysia.

Keadaan pada masa itu bersifat PERLU dan HARUS DILAKSANAKAN.

Rakyat memahami dan menerima.

Begitu juga dengan tahun 2013. Saya sendiri pernah mengisytiharkan darurat jerebu di dua lokasi – Muar dan Ledang.

Mengapa?

Tahap pencemaran udara di kedua-dua kawasan ini telah mencecah satu paras yang ditakrifkan sebagai tahap kecemasan.

Maka saya mengisytiharkan keadaan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang pada masa itu.

Keadaan pada masa itu bersifat PERLU dan HARUS DILAKSANAKAN.

Rakyat memahami dan menerima.

Pada masa yang sama, saya juga menegaskan bahawa pengisytiharan darurat Bencana jerebu ini tidak mengubah corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

Saya mengambil iktibar daripada ayahanda saya.

Kuasa pentadbiran di tangan pemimpin bukan miliknya.

Kuasa pentadbiran di tangan pemimpin milik rakyat sepenuhnya.

Pada tahun 1971, ayahanda pernah berkata “unless we restore power to where it properly belongs, and to the people through Parliament, all the struggle for independence, the struggle against Communism, all that will have been in vain.”

Saya terjemahkan untuk saudara-saudari

“Jika kita tidak mengembalikan kuasa ke mana yang sepatutnya, dan kepada rakyat melalui Parlimen, maka segala perjuangan kita untuk kemerdekaan, perjuangan kita menentang komunisme, adalah sia-sia”

Demokrasi berparlimen dan kuasa rakyat tetap dijulang dan dihormati.

Di masa timbulnya kegagalan memelihara keperluan rakyat dan menyelesaikan keadaan yang semakin menghimpit rakyat, maka sudah tentu akan timbul persoalan dan perbezaan.

Dan wajar diperbetulkan.

Fungsi besar kerajaan ialah menjadi pelindung kepada rakyat dan pembekal kepada keperluan rakyat.

Dalam apa jua keadaan pun, kebajikan dan kesejahteraan rakyatlah segala-galanya.

Tunjang dan fokus perjuangan arwah ayahanda dan yang kami titikberatkan ke hari ini – RAKYAT.

Al-Fatihah.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157619303925952/

Leave a Reply