News_archive

44,736 Projek Bernilai RM4.2 Bilion Ditawar Untuk Dilaksanakan

By Sunday June 21st, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) — Sejumlah 44,736 projek bernilai RM4.2 bilion telah ditawarkan untuk dilaksanakan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama sehingga 12 Jun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sebanyak 13,365 projek bernilai RM1.5 bilion pula telah disiapkan, melibatkan projek kecil seperti menaik taraf dan membaik pulih jalan luar bandar, jambatan, sekolah dan hospital.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, sejumlah 8,981 projek bernilai RM4.3 bilion telah ditawarkan dalam tempoh yang sama.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 545 projek bernilai RM1.3 bilion telah disiapkan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Lim bertanyakan peratusan unjuran penguncupan ekonomi negara pada akhir tahun ini dan ingin tahu mengapa masih ada penguncupan sedangkan lebih RM60 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi telah diperuntukkan.

Najib berkata sehingga kini, sejumlah RM6.8 bilion daripada RM7 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama telah disalurkan kepada kementerian dan agensi pelaksana.

Beliau berkata inisiatif kerajaan untuk memulihkan ekonomi telah dapat memberi keyakinan kepada para pelabur, terutama dalam pasaran ekuiti.

“Ini jelas dilihat apabila Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencatatkan peningkatan ketara sejak Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua diumumkan, dengan KLCI melonjak sehingga 1,070 mata pada 8 Jun berbanding 855 mata pada 10 Mac,” katanya.

Beliau berkata dengan terlaksananya lebih banyak projek dalam pakej rangsangan, dijangka akan memberi kesan positif yang lebih ketara ke atas ekonomi negara dalam separuh kedua tahun 2009.

“Kerajaan yakin bahawa melalui strategi dan langkah yang telah dirangka dalam kedua-dua pakej rangsangan yang komprehensif dan menyeluruh ini, akan dapat meminimumkan impak kemelesetan ekonomi dunia terhadap ekonomi domestik serta dapat memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Najib berkata kerajaan akan terus memantau pelaksanaan pakej rangsangan ini dengan rapi bagi memastikan ia dilakukan dengan pantas dan berkesan serta pelaksanaannya memberi pulangan wang yang sepadan.

Sementara itu, kepada soalan lain Najib berkata adalah terlalu awal bagi kerajaan untuk menyatakan sama ada syarat ekuiti Bumiputera akan dinaikkan dalam sektor lain bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera, setelah syarat ekuiti Bumiputera dikecualikan dalam 27 subsektor perkhidmatan baru-baru ini.

“Syarat ekuiti ini bukanlah merupakan instrumen tunggal untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera kerana terdapat pelbagai program yang membantu ke arah peningkatan pemilikan ekuiti Bumiputera, dan program tersebut akan terus dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teo Nie Ching (DAP-Serdang).

Teo ingin tahu sama ada kerajaan akan menaikkan syarat ekuiti pegangan Bumiputera dalam sektor lain setelah 27 sektor industri dikecualikan daripada syarat 30 peratus tersebut.

Sumber : Bernama

Leave a Reply