3 PUNCA KUASA UTAMA KERAJAAN UNTUK ARAH BANK TAWARKAN MORATORIUM SECARA…

By Wednesday June 2nd, 2021 No Comments

3 PUNCA KUASA UTAMA KERAJAAN UNTUK ARAH BANK TAWARKAN MORATORIUM SECARA AUTOMATIK DAN TIDAK TERHAD PADA B40 SAHAJA

1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kecewa dengan alasan ‘simplistic’ Menteri Kewangan kononnya Kerajaan tidak boleh mengarah Bank-Bank untuk memberikan MORATORIUM SECARA AUTOMATIK kerana Kerajaan tidak memiliki Bank atau Menteri tiada kuasa mengarahkan Bank-Bank.

2. Dikongsikan di sini 3 punca kuasa utama yang memberi peruntukan KUASA BESAR untuk Kerajaan melalui Menteri Kewangan mengarahkan Bank-Bank menawarkan Moratorium secara automatik.

A. Seksyen 72 dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta 701) secara jelas memberikan peruntukan kuasa kepada Jemaah Menteri (Kerajaan) untuk ‘Overrule’ atau membatalkan sebarang keputusan yang dibuat Bank Negara Malaysia (BNM), manakala BNM sebagai pelaksana dasar perlu patuh kepada sebarang arahan Menteri bertanggungjawab.

B. Seksyen 6 dan 7 dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) juga memberikan peruntukan kuasa yang jelas untuk Menteri Kewangan mengarahkan melalui BNM berkenaan dasar-dasar yang berkaitan dalam kewangan dan perbankan.

C. Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memberikan Kerajaan kuasa penuh untuk mengadakan sebarang peraturan baharu mahupun mengatasi (overule) sebarang undang-undang bertulis sedia ada demi mencapai matlamat Proklamasi Darurat.

3. Hakikatnya, tanpa Ordinan Darurat pun, dua undang-undang sedia ada memperuntukkan kuasa Menteri Kewangan yang amat besar hingga boleh mengarahkan mahupun mengatasi (overule) sebarang keputusan BNM apatah lagi bank-bank komersil.

4. Selain kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang bertulis, Kerajaan juga boleh menggunakan kuasa melalui pegangan saham yang dimiliki dalam bank-bank utama melalui GLC/GLIC. Contohnya: Tabung Haji, KWSP, PNB dan KWAP memiliki 82% pegangan saham dalam Bank Islam. Khazanah Nasional pula memiliki 30% dalam Bank Muamalat. PNB, KWSP dan KWAP memiliki 62% dalam Maybank dan 62.1% CIMB Bank.

5. Justeru, Pemuda UMNO menyarankan agar Kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang ada sebagaimana yang dinyatakan untuk mengarahkan Bank-Bank yang ternyata mencatat keuntungan mencecah berbilion ringgit hanya pada suku tahun pertama 2021 sahaja, untuk menawarkan Moratorium secara automatik kepada rakyat tanpa caj atau faedah tambahan selama 3 bulan dan tidak terhad kepada hanya golongan B40!

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

2 Jun 2021

#PemudaJurubicaraRakyat
#TradisiMembelaRakyat



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157927212580952/

Leave a Reply