News_archive

20,000 Ucap Selamat Hari Lahir Pada Perdana Menteri

By Friday July 29th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Kira kira 20,000 rakyat termasuk 37 peratus daripadanya terdiri daripada golongan belia dan pelajar sekolah merakamkan ucapan melalui siber kepada Perdana Menteri sempena sambutan hari lahir beliau yang ke-58 Jumaat lepas.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ucapan-ucapan itu diterima beliau melalui laman sosial beliau iaitu Facebook, Twitter dan Blog 1Malaysia.

“10 peratus lagi telah melawat laman web www.poskaduntukpm.com.my,” katanya ketika meraikan pemenang pertandingan Poskad untuk Perdana Menteri (PM) di kediamannya di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Merakamkan penghargaannya, Najib berkata, beliau amat tersentuh dengan penghantaran kad-kad ucapan digital dan kreatif dengan mesej-mesej yang mendoakan kebaikan dan kejayaan untuk beliau dan negara.

“Saya amat menghargai sokongan ini dan InsyaAllah kata-kata rangsangan ini akan menguatkan lagi azam dan semangat saya untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya.

Pertandingan Poskad Untuk Perdana Menteri merupakan anjuran bersama Akademi Digital Rakyat (ADR) dan Yayasan Media Sosial Malaysia dan dilancarkan Mohd Ali yang juga Pengerusi ADR, di Melaka pada 8 Julai lepas.

Pertandingan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu esei ucapan dan poskad kreatif.

Tiga daripada enam pemenang utama pertandingan itu diraikan hari ini yang turut menerima hadiah mereka iaitu Ipad dan Iphone 4.

Pelajar Tahun 5 Sekolah Rendah Islam 1, Jalan Abdul Tok Hashim, Perlis, Shafiza Sharani, 11, berkata peluang untuk bertemu Perdana Menteri amat bermakna baginya.

“Harapan saya semoga Perdana Menteri sentiasa sihat sejahtera dan dipanjangkan umur,” katanya yang memenangi kategori esei.

Lemuel Ong, 18, pula berharap Perdana Menteri sentiasa dilimpahi rahmat untuk masa depan beliau dan rakyat Malaysia.

Bagi guru dari Sekolah Agama Sibu, di Sarawak, Yacob Pon menyifatkan beliau cukup bertuah kerana pada kunjungan sulung ke ibu negara hari ini dapat bersemuka dengan Perdana Menteri.

Nor Salim Mohamed Dawam pula menyifatkan kemenangannya ini sesuatu yang amat membanggakan kerana ia merupakan pengiktirafan terbaik daripada Perdana Menteri.

Sumber : Bernama

Leave a Reply