Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
1Malaysia Sediakan Garis Permulaan Yang Adil - Najib Razak
News_archive

1Malaysia Sediakan Garis Permulaan Yang Adil

By Tuesday April 28th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) — Konsep 1Malaysia bertujuan menyediakan garis permulaan yang adil bagi rakyat mendapat bantuan kerajaan tanpa mengira mereka dari bandar, luar bandar dan kumpulan etnik sekiranya mereka mempunyai potensi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata seseorang anak yang datang dari keluarga miskin tidak kira dari bandar atau luar bandar walau dari etnik manapun tetapi ternyata mempunyai potensi sememangnya berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik.

“Maknanya, kita boleh menawarkan akses pemula dengan menyediakan datar permainan yang adil tetapi kita sebagai kerajaan tidak berkemampuan memastikan penghasilan yang sama,” katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Dalam kata lain, kerajaan tidak boleh memainkan peranan ibubapa, keluarga atau masyarakat setempat, dan kerajaan juga bukanlah galang yang boleh mengganti kehendak, kemahuan, usaha serta iltizam seorang pelajar atau peniaga juga usahawan untuk berjaya, kata Najib.

“Apa yang kerajaan boleh buat adalah menyediakan garis permulaan yang adil. Pendek kata, antara prinsip-prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar,” katanya.

Berdasarkan konsep 1Malaysia, katanya, setiap rakyat Malaysia yang berkelayakan dan memerlukan bantuan serta pertolongan akan dibantu.

“Tidak akan ada mana-mana pihak yang akan dicicirkan. Janganlah mana-mana pihak menganggap mereka adalah warga kelas dua di negara ini,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata ini kerana setiap anak Malaysia adalah potensi modal insan yang penting kepada negara dan setiap mereka perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Setiap warga negara, katanya, mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing seperti yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Kewarganegaraan bukan sahaja menggariskan hak tetapi juga menuntut tanggungjawab. Janganlah mana-mana pihak terlalu taksub terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai warga negara,” katanya.

Najib berkata mengikut konsep 1Malaysia, kerajaan perlu memastikan tiada rakyat Malaysia yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan.

“Bagi kerajaan, meritokrasi bukan bermakna kesaksamaan yang membuta. Malah kesaksamaan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak,” katanya.

Beliau berkata konsep itu tidak sekali-kali lari daripada apa yang telah termaktub dan dimuafakatkan melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

“Suka atau tidak suka, kita mesti mengakui kemajmukan yang wujud adalah realiti yang harus diterima. Inilah merupakan teras kepada konsep 1Malaysia, mengakui realiti yang ada dan menjadikannya sebagai platform untuk mencapai kejayaan demi kejayaan,” katanya.

Selama ini pun, kata Najib, Malaysia berjaya kerana kemajmukan rakyat yang ada dijadikan sebagai sumber kekuatan walaupun banyak negara di dunia hancur dek faktor kemajmukan.

Malah rakyat telah merasai sedikit sebanyak bagaimana kemajmukan yang tidak diurus dengan betul telah hampir meranapkan negara ini seperti mana yang telah dialami semasa tragedi 13 Mei.

Perdana Menteri berkata konsep itu bukanlah sesuatu yang baru kerana sebenarnya ia adalah kesinambungan kepada apa yang diperjuangkan sejak zaman Perdana Menteri pertama almarhum Tunku Abdul Rahman.

Sumber : Bernama

Leave a Reply