News_archive

1Belia 1Malaysia perkasakan belia

By Friday May 15th, 2009 No Comments

MELAKA 15 Mei – Konsep 1Belia 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan sempena Hari Belia 2009 diyakini mampu memperkasakan golongan belia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, konsep itu yang menekankan hubungan yang lebih erat di kalangan pemimpin negara dan kerajaan adalah bertujuan melihat golongan belia turut memainkan peranan utama dalam memajukan Malaysia.

“Saya percaya dengan konsep dan pendekatan yang akan digunakan nanti, ia akan menaikkan martabat dan kedudukan belia pada tahap yang lebih tinggi daripada sebelum ini.

“Ini bermakna peranan belia akan menjadi lebih penting dalam dekad-dekad yang akan datang dan tentunya kita harapkan konsep 1Belia 1Malaysia akan mewujudkan gandingan mantap yang boleh membawa negara ke era masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 20,000 belia dari seluruh negara turut mendengar ucapan perutusan daripada Najib sempena Hari Belia Negara 2009 yang disiarkan melalui skrin pada majlis tersebut.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, bagi merealisasikan konsep 1Belia 1Malaysia, kerajaan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Belia dan Sukan termasuk perwakilan majlis belia dalam usaha untuk memperkasakan program-program belia.

Menurut beliau, kerajaan pada dasarnya telah memberikan persetujuan untuk memberikan sokongan padu kepada Kementerian Belia dan Sukan dari segi sumber manusia dan kewangan.

“Saya pernah menyuarakan pandangan kepada Perdana Menteri mengenai pentingnya bantuan dari segi sumber manusia dan kewangan kerana untuk memperkasakan belia, lebih banyak program-program belia perlu diatur berbanding masa lepas,” katanya.

Pada masa yang sama, Muhyiddin turut menafikan dakwaan bahawa peruntukan untuk aktiviti belia adalah terlalu kecil.

Sebaliknya, kata beliau, jumlah golongan belia di negara ini adalah terlalu besar.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk melihat keberkesanan peranan belia, agensi-agensi berkaitan dalam kerajaan perlu ditingkatkan dari segi organisasi dan struktur bagi memudahkan lebih banyak program- program penting dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, kerajaan tetap mengiktiraf belia dan akan memastikan konsep 1Belia 1Malaysia akan dapat memperkasakan belia pada tahap yang lebih tinggi.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply