Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
13,365 projek pakej rangsangan sudah siap - Najib Razak
News_archive

13,365 projek pakej rangsangan sudah siap

By Sunday June 21st, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 22 Jun – Perdana Menteri berkata, sebanyak 13,365 projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama telah disiapkan terutama yang melibatkan projek-projek kecil seperti menaik taraf, membaik pulih jalan luar bandar, jambatan, sekolah dan hospital dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM500 juta.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, jumlah projek itu merupakan sebahagian daripada 44,736 projek yang bernilai RM4.2 bilion yang telah ditawarkan oleh kerajaan untuk dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama sehingga 12 Jun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pula, sejumlah 8,981 projek bernilai RM4.3 bilion telah ditawarkan dalam tempoh yang sama.

“Daripada jumlah itu sebanyak 545 projek bernilai RM1.3 bilion telah disiapkan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Najib, setakat ini sejumlah RM6.8 bilion daripada RM7 bilion yang terdapat dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama telah disalurkan kepada kementerian dan agensi pelaksana.

Beliau menjelaskan, pakej rangsangan itu merupakan pakej yang komprehensif dan turut mengambil kira usaha mengurangkan beban rakyat dalam mengharungi kemelesetan ekonomi.

Katanya, inisiatif kerajaan untuk memulihkan ekonomi telah dapat memberi keyakinan kepada para pelabur terutama dalam pasaran ekuiti.

“Ia jelas dilihat apabila Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) telah melonjak sehingga 1,070 mata pada 8 Jun lalu berbanding 855 mata pada 10 Mac lalu.

“Dengan terlaksananya lebih banyak projek di bawah pakej rangsangan itu, ia dijangka memberi kesan positif yang lebih ketara ke atas ekonomi negara dalam separuh kedua tahun 2009,” kata beliau.

Najib berkata, kerajaan yakin melalui strategi dan langkah yang dirangka dalam kedua-dua pakej rangsangan itu akan dapat meminimumkan impak kemelesetan ekonomi dunia terhadap ekonomi domestik.

Jelas beliau, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan pakej rangsangan tersebut dengan rapi bagi memastikan ia dilakukan dengan pantas dan berkesan serta pelaksanaannya memberi pulangan wang yang sepadan.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply