News_archive

10,000 Termasuk Perdana Menteri Hadiri Malam Pendekar 1Malaysia

By Monday January 23rd, 2012 No Comments

GEORGE TOWN, 24 Jan (Bernama) — Lebih 10,000 anggota persatuan seni mempertahankan diri dan orang ramai membanjiri Anjung Times Square untuk mendengar amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Malam Pendekar 1Malaysia anjuran Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM).

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Mahaguru PSSLM Tan Sri Omardin Mauju, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Seri Ali Rustam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Malam Pendekar menjadi ‘gelanggang perpaduan’ kerana setiap kaum akan menampilkan aksi masing-masing dalam pelbagai seni tempur, antaranya silat, silambam, taekwando dan karate.

Najib, yang juga penyandang Ulul Amri III, dalam ucapannya berharap pendekar yang terdiri daripada golongan muda pelbagai kaum akan bersatu padu demi negara.

“Pendekar yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India bukan untuk bertembung antara satu sama lain, tetapi berpadu di bawah prinsip 1Malaysia,” katanya.

Sementara itu, anggota Persatuan Silamban Wilayah Persekutuan R.Mayil Selvi, 21, ketika ditemui Bernama berkata program seperti ini mampu mempromosi seni mempertahankan diri serta warisannya.

Dia berkata dengan menyertai persatuan seni mempertahankan diri dapat membentuk dirinya jadi seorang yang berdisplin.

Anggota Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi, Muhammad Zuhair Aminnudin, 26, pula berkata majlis seperti ini patut diteruskan setiap tahun bagi menyatukan semua anggota seni bela diri di Malaysia.

“Selain dapat berkumpul, majlis seperti ini juga membuktikan negara kita mempunyai banyak seni mempertahankan diri yang masih diamalkan, terutama golongan muda,” katanya.

Bagi anggota Persatuan Karate-Do Pulau Pinang, Woon Sek Jia, 27, melalui aktiviti seperti ini, peserta boleh bertukar pandangan antara satu sama lain.

Sumber : Bernama

Leave a Reply