BlogFeatured Articles

10 Malam Terakhir Ramadan

By Wednesday June 14th, 2017 No Comments

Malam ini kita memasuki 10 malam terakhir Ramadan, ini bermakna tidak lama lagi kita akan menyambut Syawal. Saya yakin ramai juga yang sudah tidak sabar dan teruja untuk pulang beraya di kampung halaman bersama keluarga. Persiapan menyambut Syawal pasti sedang giat dijalankan, daripada membeli-belah kepada membuat kuih-muih bersama keluarga.

Namun begitu, saya berharap kita tidak alpa akan peluang yang diberikan oleh Allah SWT sekali lagi, untuk kita menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan ini. Janganlah kita tenggelam dalam keghairahan menyambut Syawal kerana kita mungkin akan terlepas malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul-Qadar.

Ganjaran besar juga dijanjikan kepada umat Islam yang menghayati dan melipatgandakan amalan pada sepuluh malam terakhir sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang melakukan qiam (solat malam) pada malam al-Qadar kerana iman dan mengharapkan (pahala) nescaya dosanya yang lalu diampuni.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak amalan boleh dilaksanakan ketika mencari Lailatul-Qadar antaranya ibadah sunat seperti solat, membaca Al-Quran, bertasbih, takbir, istighfar, selawat, tahmid dan berdoa.

Saya juga ingin kongsikan salah satu doa yang boleh dibaca sebagai satu usaha untuk menemui Lailatul-Qadar yang bermaksud:

“Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pemaaf yang menyukai permintaan maaf, maka maafkanlah aku.” (Riwayat Tirmidzi)

Insya-Allah, marilah kita menyempurnakan ibadat kita di bulan Ramadan ini dengan mencuba mendapatkan keberkatan Lailatul-Qadar.

Leave a Reply